Kongres unik selepas pelbagai ujian - Saifuddin

Saifuddin Nasution ketika menyampaikan ucapan aluan pada Kongres Nasional PKR di Stadium Melawati pada Sabtu. - Foto SINAR HARIAN/ Mohd Rafiq Redzuan Hamzah.
Saifuddin Nasution ketika menyampaikan ucapan aluan pada Kongres Nasional PKR di Stadium Melawati pada Sabtu. - Foto SINAR HARIAN/ Mohd Rafiq Redzuan Hamzah.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatlan Kongres Nasional Khas yang diadakan sebagai unik selepas parti itu berdepan dengan pelbagai ujian dan pengkhianatan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, perhimpunan itu juga menyaksikan parti tersebut terus mempunyai penyokong setia dalam memperjuangkan agenda reformasi yang digagaskan oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1998.

“Kongres ini cukup berbeza berbanding sebelumnya, kerana dahulu kita dihidangkan dengan pelbagai ujian, cabaran dan dikhianati tetapi akhirnya kita sekali lagi berpeluang berada di tampuk pentadbiran Putrajaya, bahkan lebih manis, Anwar kini menjawat Perdana Menteri.

“PKR cukup beruntung kerana terus mempunyai pendukung yang kekal setia menggerakkan arus reformasi hingga berjaya ke segenap bandar desa, kampung dan pendalaman serta mendapat sokongan pelbagai kaum, etnik, peringkat umur mahupun aktivis. Inilah reformis sejati,” katanya ketika ucapan aluan ketika Kongres Nasional Khas 2023 Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisma di Stadium Melawati pada Sabtu.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution mengingatkan kepada semua ahli parti itu membulatkan tekad perjuangan demi rakyat dan negara.

“Terus melangkah sederap dengan suatu ketumbukan yang padu untuk mara kehadapan sebagai ejen perubahan yang menyumbang kepada sebuah Malaysia Madani yang kita impikan,” ujar beliau.

Kongres yang dihadiri oleh perwakilan PKR dari seluruh negara itu adalah bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya di enam negeri yang dijangka diadakan pada Julai ini.

Ia juga bertujuan menyentuh mengenai eleman pemantauan kepada dasar-dasar kerajaan di bawah Sekretariat Kerajaan Perpaduan.