Tiga kadar zakat fitrah di Pulau Pinang

Ahmad Zakiyuddin (dua dari kiri) bersama Amran (dua dari kanan) dan Samsudin (kiri) menunjukkan kadar zakat fitrah bagi Pulau Pinang pada tahun ini.
Ahmad Zakiyuddin (dua dari kiri) bersama Amran (dua dari kanan) dan Samsudin (kiri) menunjukkan kadar zakat fitrah bagi Pulau Pinang pada tahun ini.
A
A
A

KEPALA BATAS - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menetapkan tiga kadar zakat fitrah bernilai RM7, RM13 dan RM20 setiap seorang pada tahun ini.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, tiga kadar zakat fitrah yang ditetapkan ini memberi peluang kepada umat Islam di Pulau Pinang yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah mereka dengan kadar yang lebih tinggi mengikut kemampuan.

Menurutnya, kadar bayaran zakat fitrah tertinggi itu ditetapkan bagi mereka yang memakan beras Basmathi, Herba Ponny, Beras Jepun / Calrose atau yang setara dengannya.

"Kadar bayaran RM7 ditetapkan bagi mereka yang makan beras spesial tempatan 5% peratus, super spesial tempatan 10 peratus, beras tempatan standard, beras tempatan premium, beras hancur, beras merah atau lain-lain yang setara dengannya.

"Bagi bayaran RM13 pula untuk mereka yang makan beras wangi, beras pulut, beras rebus, beras import atau setara yang setara dengannya," katanya ketika berucap pada Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ehya' Ramadan Pulau Pinang 2023 di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Amran Hazali dan Setiausaha MAINPP, Datuk Samsudin Bakar.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Pengerusi ZPP berkata, pada tahun lalu agensi pengurusan kutipan zakat yang dilantik itu berjaya memungut sebanyak RM6.59 juta zakat fitrah.

Beliau berkata, pada tahun ini pula, ZPP menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM6.7 juta.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, bagi tahun ini jumlah kariah dan pusat kutipan yang dilantik oleh MAINPP sebanyak 237 kariah dengan jumlah amil yang ditauliahkan seramai 1,699 orang di seluruh Pulau Pinang.

Beliau turut menasihatkan kepada umat Islam dan warga Pulau Pinang agar membayar zakat fitrah mereka kepada amil yang sah dan dilantik oleh MAINPP sebagaimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 16, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

Jelasnya, Perkara 33 menggariskan mana-mana orang yang memungut zakat atau fitrah atau menyebabkan dipungut zakat atau fitrah tanpa dia dilantik sebagai amil atau selainnya diberi kuasa oleh majlis adalah melakukan suatu kesalahan.

Jika disabitkan kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, mahkamah hendaklah memerintahkan supaya pungutan itu dirampas dan dibayar ke dalam kumpulan wang yang ditubuhkan di bawah Seksyen 90 (1) Enakmen Pentadbiran.

"Mengikut Perkara 34 menetapkan mana-mana orang yang membayar atau menyebabkan supaya dibayar zakat atau fitrah kepada mana-mana orang yang tidak diberi kuasa secara sah untuk memungut zakat atau fitrah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," katanya lagi.

Sementara itu, ZPP juga menggalakkan agar umat Islam di Pulau Pinang dapat menunaikan zakat fitrah mereka melalui kaedah dalam talian yang disediakan seperti melalui portal zakatpenang2u.com dan JomPay dan beberapa kaedah digital yang akan diuar-uarkan menjelang Ramadan nanti.

Selain itu, beliau juga memaklumkan urusan penerimaan zakat harta oleh ZPP seperti zakat pendapatan, zakat wang simpanan, zakat emas & peras dan zakat-zakat yang lain masih berjalan seperti biasa di semua kaunter-kaunter perkhidmatan ZPP seluruh negeri Pulau Pinang mengikut waktu operasi yang akan diuar-uarkan di saluran-saluran media sosial ZPP.

Oleh itu, masyarakat Islam di Pulau Pinang boleh merujuk maklumat-maklumat ini menerusi semua platform media sosial milik ZPP seperti di Facebook, Instagram, YouTube, TikTok, Twitter dan Telegram.