Shahrel Fikri barakan jentera serangan Negeri Sembilan

Kehadiran Shahrel Fikri mengubah rentak permainan Negeri Sembilan pada separuh masa kedua ketika berdepan TFC dalam aksi Liga Super di Paroi, malam tadi. Foto Facebook MFL
Kehadiran Shahrel Fikri mengubah rentak permainan Negeri Sembilan pada separuh masa kedua ketika berdepan TFC dalam aksi Liga Super di Paroi, malam tadi. Foto Facebook MFL
A
A
A

KEHADIRAN semula penyerang Negeri Sembilan FC, Shahrel Fikri bersama skuad Rusa ketika membantu pasukan itu menewaskan Terengganu FC (TFC), 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Khamis disifatkan satu perkembangan positif.

Bagaimanapun pengendali skuad Hobin Jang Hobin, K Devan menegaskan bekas tonggak Selangor FC yang menyertai Negeri Sembilan musim ini masih perlu berada pada tahap kecergasan terbaik untuk diturunkan dalam perlawanan kompetetif 90 minit.

"Apabila gandingan Mahalli Jasuli dan Casagrande tidak memberi kesan terutamanya untuk hantaran bola tinggi sememangnya kita amat berharap Mahali untuk 'second ball'.

"Sebaliknya apabila kita masukan Shahrel Fikri, ternyata dia cukup bersedia untuk 'second ball' yang memang memberi kesan kepada pasukan dalam perlawanan ini.

"Malah dalam 20 minit, Shahrel Fikri juga melakukan percubaan sebanyak tiga empat kali ketika berada dalam kawasan pasukan lawan," katanya yang menyifatkan bekas pemain Perak itu mengubah rentak tuan rumah.

Pada perlawanan itu, skuad Rusa terlebih dulu di depan hasil jaringan Levy Madinda pada minit ke-28 sebelum bintang import Adisak Kraisorn dari Thailand, menyamakan kedudukan minit ke-47 penghujung separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, kedua-kedua pasukan lebih agresif memburu gol, sebelum Casagrande muncul wira tuan rumah apabila jaringan minit ke-67 memastikan tiga mata Hobin Jang Hobin selepas mengharungi empat perlawanan.

Kehadiran Shahrel Fikri mengubah rentak permainan Negeri Sembilan pada separuh masa kedua ketika berdepan TFC dalam aksi Liga Super di Paroi, malam tadi. FOTO FACEBOOK Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)
Kehadiran Shahrel Fikri mengubah rentak permainan Negeri Sembilan pada separuh masa kedua ketika berdepan TFC dalam aksi Liga Super di Paroi, malam tadi. FOTO FACEBOOK Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)

Pada masa sama Devan mengakui Shahrel Fikri sememangnya merupakan pemain kesebelasan utama Negeri Sembilan musim ini, namun faktor kecergasan menghalang bekas pemain kelab Liga Thailand, Nakhon Ratchasima itu diturunkan dalam aksi 90 minit.

"Bagi perlawanan menentang Terengganu FC malam tadi, saya telah meletakkannya di bangku simpanan.

"Kemungkinan besar andai tahap kecergasan Shahrel Fikri sudah cukup bersedia kemungkinan besar dia akan diturunkan untuk aksi kompetetif 90 minit," katanya

Mengenai perlawanan itu, Devan mengakui gembira apabila Negeri Sembilan kembali semula ke prestasi sebenar selepas tewas 0-7 kepada penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Paroi sebelum ini.

"Sebelum ini kita tahu Negeri Sembilan kalah dengan JDT, pasukan terbaik negara, jadi pemain-pemain tidak boleh terbawa-bawa perkara sama dalam perlawanan menentang Terengganu FC.

"Ya kita tewas dengan jaringan besar ketika berdepan JDT, namun pemain-pemain Negeri Sembilan telah kembali mempamerkan karakter sebenar untuk tiga mata pasukan.

"Persembahan pemain-pemain kali ini penuh dengan semangat, perjuangan dan komitmen tinggi sepanjang 90 minit perlawanan," katanya

Tiga mata diraih dilaman sendiri itu menyaksikan Negeri Sembilan kini mengumpul lima mata hasil satu menang, dua seri, satu tewas, akan melayan kunjungan Kelantan FC bagi aksi liga di Paroi pada 1 April depan.

Biarpun mengakui Negeri Sembilan mula mendapat momentum, namun Devan mengakui tidak mahu dibuai kemenangan pertama skuad Rusa itu.

Sebaliknya katanya, Negeri Sembilan akan menggunakan tempoh rehat sementara liga untuk menambahbaik pasukan.

"Pada saya masih terlalu awal lagi untuk menilai prestasi sebenar pasukan ini selepas mengharungi tiga perlawanan.

"Fokus utama sekarang adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain-pemain import yang masuk lewat.

"Paling penting tempoh rehat ini juga akan digunakan sebaiknya untuk memperbaiki komunikasi pemain import dan tempatan," katanya.