Pelajar wanita di Afghanistan boleh kembali ke sekolah

Pelajar perempuan akan kembali bersekolah sebaik sahaja isu dalaman di Afghanistan diselesaikan. - Gambar Fail
Pelajar perempuan akan kembali bersekolah sebaik sahaja isu dalaman di Afghanistan diselesaikan. - Gambar Fail
A
A
A

MOSCOW - Pemangku menteri luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi berkata, pelajar perempuan akan kembali bersekolah sebaik sahaja isu dalaman di negara itu diselesaikan.

Beliau berkata demikian semasa pertemuan ulama Afghanistan dengan delegasi Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor badan penyiar TOLO News memetik sumber delegasi UAE pada Khamis.

Menurut laporan itu, mesyuarat yang dihadiri menteri bagi kebajikan dan pencegahan maksiat Afghanistan dan timbalan menteri pengajian tinggi itu turut menyentuh isu pendidikan wanita di Afghanistan, lapor Sputnik.

Muttaqi berkata, kehadiran wanita ke sekolah tidak dianggap "Haram" (dilarang) dan tidak dilarang dalam Islam, menurut sumber itu.

Menteri itu berkata, kehadiran wanita ke sekolah bukanlah isu agama, tetapi merupakan masalah dalaman di Afghanistan yang memerlukan kerajaan mengambil masa untuk menyelesaikannya. Golongan itu akan kembali ke sekolah sebaik sahaja masalah itu diselesaikan oleh kerajaan, kata sumber itu kepada media.

Pada akhir 2022, kerajaan Taliban (di bawah sekatan PBB kerana keganasan) mengarahkan semua pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa di Afghanistan menggantung kerja pekerja wanita mereka.

Kementerian Pendidikan Afghanistan seterusnya mengarahkan penggantungan pendidikan untuk golongan wanita di institusi pengajian tinggi swasta dan negeri. Pendidikan menengah untuk kanak-kanak perempuan dilarang di Afghanistan sejak September 2021.

Keputusan pihak berkuasa Afghanistan itu dikecam keras oleh beberapa pihak, organisasi antarabangsa dan pemimpin global. - Bernama-Sputnik