Misi besar Tze Yong

Tze Yong akan menentang pemain China pada aksi suku akhir Seluruh England di Birmingham malam ini. - Foto Badminton Photo
Tze Yong akan menentang pemain China pada aksi suku akhir Seluruh England di Birmingham malam ini. - Foto Badminton Photo
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong enggan 'hanyut' dibuai dengan kejayaan menewaskan juara dunia, Viktor Axelsen sebaliknya mahu kekal tenang menjelang aksi suku akhir Seluruh England malam ini.

Pemain berusia 23 tahun itu akan menentang wakil dari China, Li Shi Feng di Arena Utilita Birmingham.

Shi Feng menewaskan rakan senegara Zhao Jun Peng 21-9, 21-17.

Tze Yong melakar kejutan terbesar dalam kariernya apabila menundukkan Axelsen yang juga juara bertahan di pusingan kedua menerusi kemenangan 21-15, 9-21, 23-21.

"Ini sudah pasti kemenangan terbesar dalam karier saya setakat ini, tetapi saya tidak akan meraikannya lagi kerana kejohanan masih belum berakhir," ujar Tze Yong.

Pencapaian itu amat menakjubkan memandangkan Tze Yong hanya menjadi pemain keempat yang menewaskan pemain Denmark itu dalam tempoh 15 bulan lalu.

"Sebagai pemain berpengalaman, Axelsen mempunyai kelebihan. Dia tahu cara untuk mengendalikan perlawanan.

“Dia bermain dengan sabar dan fokus pada pertahanannya, saya pula agak gementar dan terlalu bersemangat untuk mengutip mata.

“Apa pun, saya gembira kerana akhirnya saya menang,” katanya.

Tiga pemain lain yang pernah menewaskan Axelsen ialah pemain India, Lakhsya Sen, Loh Kean Yew dari Singapura dan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.

Pemain di ranking ke-28 dunia itu yang dibimbing Hendrawan mempunyai misi besar kerana mahu menamatkan badi tiga kekalahan dengan Shi Feng sebelum ini.

“Fokus saya kini pada perlawanan seterusnya.

"Saya akan tengok semula rakaman video perlawanan antara kami (menentang Shi Feng) kerana saya pun beberapa kali kalah kepada dia.

"Saya tidak mahu fikir terlalu banyak, tapi akan lawan saja," ujar Tze Yong.