Syed Saddiq tak setuju larang umat Islam lawat rumah ibadah lain

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak Syed Saddiq.
Kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak Syed Saddiq.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak bersetuju dengan peraturan ditetapkan kerajaan Selangor berhubung isu melarang sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berhubung perkara itu.

Menurut Syed Saddiq, beliau telah melawat rumah ibadah penganut agama lain beberapa kali dan didapati tiada agenda untuk menjejaskan agama Islam di negara ini.

"Negara kita merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk, berbilang bangsa dan agama.

"Program dan usaha untuk menyemarakkan lagi keharmonian dan kesefahaman antara rakyat seharusnya disambut dengan baik oleh semua pihak di semua peringkat.

"Sebagai Presiden Muda, saya ingin memanggil lebih daripada 100,000 ahli parti untuk melawat mana-mana rumah ibadah. Negara ini adalah rumah kita dan rumah kita bersama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, Mohd Zawawi menyatakan sebarang program membabitkan umat Islam di rumah ibadat agama lain adalah dilarang sama sekali di Selangor

Jelas Mohd Zawawi, walaupun menyambut baik program berbentuk kefahaman dan nilai-nilai toleransi antara agama yang dijalankan badan bukan kerajaan (NGO), namun ia mesti mengikut garis panduan ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terutamanya melibatkan aspek perundangan.

Sementara itu, Syed Saddiq menjelaskan Muda terdiri daripada ahli pelbagai latar belakang selain tidak pernah mempunyai masalah untuk bekerja bersama-sama ketika program kemasyarakatan diadakan.

Ujarnya, ahli Muda tidak mengira agama atau bangsa sama-sama membersihkan masjid, tokong, kuil, gereja, gurdwara dan lain-lain tempat ibadah ketika kerja-kerja pembersihan banjir.

"Saya yakin untuk yang beragama Islam, iman mereka sedikit pun tidak terjejas sehingga hendak menukar agama.

"Sebagai seorang wakil rakyat, saya juga telah banyak kali melawat ke rumah ibadah penganut agama lain dan boleh dikatakan tidak ada agenda untuk menjejaskan agama Islam di negara ini," jelasnya.

Tambah Syed Saddiq, beliau dijemput kerana mewakili rakyat tanpa mempedulikan jenis agama, bangsa dan kefahaman politik mereka kerana kebajikan adalah tanggungjawabnya.

Beliau turut mempersoalkan sekiranya enakmen itu akan dipakai terhadap pemimpin-pemimpin besar negara jika melawat ke rumah-rumah ibadah tersebut.

"Malaysia teguh kerana perpaduan dan menerusi perpaduan ini datangnya kemakmuran," ujarnya.

Pada Isnin, sebuah portal media tempatan melaporkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ mempelawa belia penganut agama selain Kristian untuk menyertainya.

Program NGO bernaung di bawah agensi pembangunan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menjemput belia khususnya bukan Kristian terlibat bersama dengan matlamat memberi pendedahan tentang persamaan dan perbezaan agama menerusi aktiviti lawatan dan kesukarelawan.

Bagaimanapun pada Selasa, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilapor berkata, program itu bukan bertujuan memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.