Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi urus niaga Jumaat berikutan sentimen yang lebih baik, dicetuskan oleh pergerakan rancak Wall Street semalaman. - Gambar hiasan
Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi urus niaga Jumaat berikutan sentimen yang lebih baik, dicetuskan oleh pergerakan rancak Wall Street semalaman. - Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia dibuka tinggi pada pagi urus niaga Jumaat berikutan sentimen yang lebih baik, dicetuskan oleh pergerakan rancak Wall Street semalaman berikutan langkah menyelamat secara bersama First Republic Bank oleh beberapa bank besar AS, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.10 pagi, penanda aras FBM KLCI menokok 11.13 mata kepada 1,402.73 daripada 1,391.60 penutup Khamis.

Pasaran pagi ini dibuka pada paras 1,397.28, mengukuh 5.68 mata.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 304 berbanding 74, manakala 197 kaunter tidak berubah, 1,690 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 292.66 juta unit bernilai RM140.87 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, Wall Street pulih apabila langkah menyelamatkan Credit Suisse Group AG dan First Republic Bank meredakan kebimbangan mengenai krisis perbankan yang semakin teruk walaupun Bank Pusat Eropah menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas lagi.

Sementara itu, banyak pihak menjangkakan Rizab Persekutuan AS mungkin mengambil sikap kurang agresif dalam menaikkan kadar faedah minggu depan, tambahnya.

"Sehubungan itu, ini mendorong Purata Perindustrian Dow Jones memperoleh 372 mata manakala Nasdaq melonjak 283 mata apabila hasil 10 tahun AS lebih tinggi kepada 3.58 peratus.

"Di pasaran domestik, pemulihan akan berlaku dan ia didorong oleh prestasi positif Wall Street. Oleh itu, kami mengunjurkan indeks akan berlegar dalam julat 1,390-1,405 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia - Maybank naik 10 sen kepada RM8.36, Public Bank menambah empat sen menjadi RM3.97, CIMB dan TNB masing-masing naik tujuh sen kepada RM5.22 dan RM9.42, manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.99.

Bagi saham aktif pula, Top Glove, Minda Global dan Vinvest Capital masing-masing naik satu sen kepada 84.5 sen, 12.5 sen dan 23 sen.

Hong Seng Consolidated turun setengah sen kepada 14.5 sen dan Careplus tidak berubah pada 27 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 77.96 mata kepada 10,259.13, Indeks FBMT 100 naik 76.11 mata menjadi 9,954.25 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 65.20 mata kepada 10,546.47.

Sementara itu, Indeks FBM 70 meningkat 89.00 mata kepada 13,220.53 dan Indeks FBM ACE menokok 72.90 mata kepada 5,263.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 143.10 mata kepada 15,496.99, Indeks Perladangan meningkat 38.05 mata kepada 6,719.43, Indeks Tenaga memperoleh 4.38 mata kepada 817.75, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.79 mata kepada 168.47. - Bernama