Ugut kru penerbitan Mentega Terbang, polis buka kertas siasatan

Laporan Sinar Harian pada Khamis. - Gambar kecil: Hussein
Laporan Sinar Harian pada Khamis. - Gambar kecil: Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menerima dua laporan daripada pengarah dan penulis skrip filem Mentega Terbang yang mendakwa menerima nota berunsur ugutan selain kenderaan disimbah cat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua kejadian ini berlaku hari sama pada Khamis melibatkan dua individu.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku di tempat letak kereta terbuka di Taman Dagang Jaya, Ampang kira-kira jam 6.30 pagi di mana kereta pengadu jenis Proton Saga telah disimbah cat.

"Selain itu, turut dijumpai helaian kertas nota yang ditinggalkan berdekatan dengan kereta pengadu dengan tulisan perkataan-perkataan yang berunsur ugutan jenayah terhadap nyawa pengadu.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507 dan 427 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Hussein, kejadian kedua kira-kira jam 3.15 pagi di Kajang di mana kenderaan kru filem itu telah dibaling dengan plastik lut sinar berisi cecair cat.

Katanya, turut ditemui satu sampul surat warna putih yang ditulis perkataan-perkataan berunsur ugutan jenayah terhadap nyawa pengadu.

"Selain itu pengadu juga turut menerima mesej melalui telefon yang berunsur ugutan jenayah terhadap diri dan keluarga pengadu," ujarnya.

Jelasnya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang juga telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah melalui panggilan dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Seksyen 427 Kanun Keseksaan pula membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya," katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara.

"Pihak polis mengambil serius kejadian ini dan akan menyiasat sehingga mereka yang terlibat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

"Pihak polis juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan atau perbuatan yang melanggar undang-undang," ujarnya.

Justeru, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berhubung dengan dua kejadian terbabit untuk tampil dengan menghubungi mana-mana balai polis yang terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804 (IPD Kajang) dan Inspektor Alif ditalian 018-9834211 (IPD Ampang) bagi membantu siasatan.