PRN: Mesyuarat Kerajaan Perpaduan bincang agihan kerusi Ahad ini

Saifuddin Nasution bercakap ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Khamis. - Foto Bernama.
Saifuddin Nasution bercakap ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Khamis. - Foto Bernama.
A
A
A

PETALING JAYA - Pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tahun ini dijangka menjadi antara agenda utama mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur Ahad ini.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir mempengerusikan mesyuarat itu.

"Akan ada laporan tentang tiga perkara iaitu Jawatankuasa Pemantauan dan Polisi, Jawatankuasa Perundingan Kerusi serta Jawatankuasa Mobilisasi dan Komunikasi,” katanya dalam sidang media ketika mengulas persiapan PH bagi menghadapi PRN di sini pada Khamis.

Menyentuh rundingan kerusi dengan Barisan Nasional (BN), beliau berkata, pakatan pilihan raya antara PH dan gabungan politik itu mencukupi untuk meningkatkan potensi kebolehmenangan dalam PRN.

"Sekarang kita sedang bincang dengan BN, kalau dia masuk, kita tak masuk, kita masuk, dia tak masuk,” katanya.

Negeri yang terlibat dalam PRN ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Mengenai Kongres Nasional Khas Keadilan yang bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam Sabtu ini, Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR berkata ia bertemakan 'Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme' dan merupakan prelud kepada PRN.

"Ia khusus untuk kita salurkan tumpuan pimpinan dan anggota parti kepada persiapan PRN," katanya.

Beliau berkata, kongres itu turut merangkumi sesi perbahasan wakil negeri dan sayap Angkatan Muda Keadilan serta Wanita PKR. - Bernama.