Pahang meterai MoA pembangunan industri bot amfibia

Wan Rosdy memaklumkan satu perjanjian ditandatangani oleh kerajaan Pahang bagi projek pembangunan industri bot amfibia bernilai RM500juta.
Wan Rosdy memaklumkan satu perjanjian ditandatangani oleh kerajaan Pahang bagi projek pembangunan industri bot amfibia bernilai RM500juta.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menerusi Perbadanan Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang telah memeterai memorandum perjanjian (MoA) bernilai RM500 juta bagi projek pembangunan industri bot amfibia bersama syarikat Sealegs International Pte Ltd minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perjanjian itu adalah salah satu usaha Sealegs International menjadikan Pahang sebagai pusat pembuatan, pusat servis dan pusat pemasaran bot amfibia keluaran mereka.

"Perjanjian ini ditandatangani oleh SUK Pahang, Datuk Seri Dr Sallehudin Ishak mewakili Perbadanan SUK Pahang dan Ketua Pegawai Eksekutif Sealegs International, David Mckee Wright yang mewakili Sealegs International," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Sealegs International adalah sebuah syarikat pembuatan kapal amfibia yang berpusat di New Zealand dan merupakan salah satu perusahaan marin terbesar dunia.

Pembangunan projek ini juga diharap mampu menyumbang kepada pembangunan negeri Pahang secara keseluruhan sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.