Sidang DUN: SIBS akan disusun lebih baik

Chang Khim ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keenam DUN Selangor Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor pada Khamis. - Foto Bernama
Chang Khim ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keenam DUN Selangor Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada tahun ini akan disusun semula dan ditambah baik supaya lebih relevan seiring perkembangan semasa industri berkenaan.

Exco Pelaburan, Perdagangan, Industri dan Industri Kecil dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, contohnya SIE (Medic) turut memperkenalkan segmen teknologi perubatan berdasarkan peningkatan permintaan selepas pandemik.

Menurut Chang Khim, ini termasuk menyasarkan lebih banyak penyertaan negara luar di SIBS 2023 agar ia menjadi salah satu program terbesar di rantau ini.

Beliau mengambil contoh, pameran makanan dan minuman GulfFood yang berlangsung pada Februari 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu telah disertai 125 negara termasuk lebih 5,000 pempamer di dalam 25 dewan pameran dengan merekodkan seramai 93,000 orang pelawat.

"Juga menjemput penceramah ekonomi terkenal dunia dan tetamu kehormat negara-negara di rantau Asia Tenggara seperti Menteri Indonesia, Bapak Erick Toheir dan lain-lain di dalam persidangan serantau Selangor ASEAN Business Conference agar persidangan tersebut dapat menarik lebih ramai peserta dari luar negara.

"Menyaring para peserta pameran terutamanya bagi pameran Selangor International Expo (F&B) untuk memberikan lebih fokus kepada para usahawan yang bersedia untuk bersaing di pasaran luar (atau export-ready).

"Ini dapat menjamin kualiti pempamer dan barangan yang dipamerkan untuk dinilai oleh para pelawat perdagangan yang hadir ke pameran tersebut dan seterusnya menaikkan nilai transaksi berpotensi," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Jamaliah Jamaluddin (DAP-Bandar Utama) mengenai prestasi SIBS yang terkini dan transformasi ke arah lebih maju berbanding SIBS yang lepas dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Tambah Chang Khim, kerajaan negeri juga akan meningkatkan usaha-usaha promosi dan penjenamaan SIBS 2023 di dalam dan luar negara menerusi lawatan, penerbitan dan penyiaran iklan agar mendapat sambutan, penyertaan dan kejayaan yang lebih besar pada penganjuran tahun ini.