Kurang yakin punca individu bekerja sendiri tak mencarum

Nur Mohammad Bakhtir (dua dari kanan) menerangkan manfaat SKSPS kepada Azman sambil diperhatikan Seh Yong (kiri).
Nur Mohammad Bakhtir (dua dari kanan) menerangkan manfaat SKSPS kepada Azman sambil diperhatikan Seh Yong (kiri).
A
A
A

SEREMBAN - Kurang yakin menyebabkan kebanyakan individu bekerja sendiri di Negeri Sembilan masih belum bersedia membuat caruman menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Nur Mohammad Bakhtir Mohamad Akhir berkata, berdasarkan statistik dari tahun 2021 sehingga Februari tahun lalu, seramai 38,950 orang bekerja sendiri di bawah 20 sektor telah mendaftar sebagai pencarum.

"Sektor perkhidmatan sokongan paling tinggi iaitu 5,373 orang diikuti sektor pengangkutan barangan dan makanan iaitu 4,083 orang.

"Kami dapati individu yang bekerja sendiri ini bukannya tidak mahu membuat caruman disebabkan masalah kewangan, tetapi tidak yakin dengan manfaat yang mereka boleh terima hasil membuat caruman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Jelajah Perkeso Prihatin di Pasar Besar Seremban di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Orang Bukan Islam negeri Chew Seh Yong.

Menurutnya, SKSPS diwujudkan pada tahun 2017 dan diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri bermula 1 Januari 2020.

Pihaknya mengharapkan kerjasama persatuan daripada semua sektor pekerjaan terbabit untuk memberi galakan kepada semua pekerja untuk menyertai SKSPS.

"Perkeso selalu turun padang mendekati kelompok individu bekerja sendiri ini tetapi kita dapati pendekatan dari individu ke individu ini agak sukar berbanding kita mendapatkan sokongan daripada persatuan.

"Sememangnya skim caruman ini bukannya satu paksaan, tetapi ia sangat digalakkan kerana pencarum boleh menerima manfaat seperti pekerja di sektor formal lain," katanya.

Azman mendengar penerangan berkenaan caruman orang bekerja sendiri daripada kakitangan Perkeso.
Azman mendengar penerangan berkenaan caruman orang bekerja sendiri daripada kakitangan Perkeso.

Sementara itu peniaga, Azman Baharin, 62, berkata, dia menyangka caruman Perkeso hanya untuk pekerja makan gaji saja.

"Saya tak tahu pun orang bekerja sendiri macam saya ini boleh mencarum dan layak terima faedah seperti perubatan, hilang upaya sementara dan lain-lain disediakan Perkeso.

"Bila diberi penerangan oleh pihak Perkeso ada skim baru untuk orang bekerja sendiri, barulah saya faham dan terus mendaftar sebagai pencarum," katanya.