Napoli mampu julang trofi Liga Juara-Juara

Pemain Napoli meraikan kejayaan mara ke suku akhir. - Foto AFP
Pemain Napoli meraikan kejayaan mara ke suku akhir. - Foto AFP
A
A
A

VICTOR Osimhen percaya Napoli memiliki keupayaan untuk memenangi Liga Juara-Juara selepas mara ke suku akhir kejohanan itu buat kali pertama dengan kemenangan ke atas Eintracht Frankfurt.

Osimhen menjaringkan dua gol manakala, Piotr Zielinski melengkapkan kemenangan 3-0 Napoli menerusi jaringan penalti dalam aksi pusingan kedua 16 pasukan terakhir di Stadio Diego Armando Maradona pada Khamis.

Ia sekali gus menyaksikan mereka mara ke peringkat suku akhir menerusi agregat 5-0 selepas menang perlawanan pertama 2-0 di laman lawan.

"Saya fikir apa-apa sahaja boleh berlaku dan kami mempunyai skuad untuk mencapai impian ini. Kami mahu melangkah setapak demi setapak dan kami akan melihat apa yang berlaku pada penghujung musim.

"Rasa seronok untuk mencipta sejarah dengan kemenangan ini. Ia adalah kemenangan besar. Tahniah kepada pasukan atas prestasi yang baik daripada keseluruhan skuad," katanya.

Victor juga menegaskan Napoli bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pasukan gergasi di peringkat suku akhir.

"Ia akan menjadi perlawanan yang hebat dan kami bersedia untuk mana-mana pasukan besar yang mungkin perlu kami lawan," katanya.