Jangan ulangi kesilapan sama lagi

Kesebelasan utama TFC pada Sabtu lalu. Gambar kecil: Badrul Afzan - Foto Facebook Terengganu FC
Kesebelasan utama TFC pada Sabtu lalu. Gambar kecil: Badrul Afzan - Foto Facebook Terengganu FC
A
A
A

PEMAIN Terengganu FC (TFC) diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan mudah apabila menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Khamis.

Penolong pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, skuad Penyu perlu mengambil pengajaran daripada kekalahan kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 2 Mac lalu, supaya dapat pulang dengan tiga mata penuh.

“Kita perlu berhati-hati dengan Negeri Sembilan kerana mereka dibarisi pemain berpengalaman ditambah kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Saya harap pemain dapat fokus daripada awal hingga minit terakhir permainan. Jangan ulangi kesilapan sama ketika di Kedah yang menyebabkan kita dihukum dengan kekalahan tipis,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus pada Selasa.

Sementara itu, Badrul Afzan menegaskan kemenangan pertama dilakar TFC ke atas PDRM FC Sabtu lalu, tidak boleh menjadikan pemain terlalu selesa.

Sebaliknya jelas Badrul Afzan, skuad Penyu perlu meningkatkan mutu permainan bagi memastikan momentum kemenangan berterusan.

“Jadi untuk perlawanan menentang Negeri Sembilan, TFC berkemungkinan besar mengekalkan gandingan Jordan Mintah dan Adisak Kraisorn di bahagian serangan, memandangkan Mintah yang diturunkan pertama kali pada perlawanan menentang PDRM FC, menunjukkan kesungguhan dan komitmen tinggi walaupun gagal menjaringkan sebarang gol.

“Namun, kita perlu tunggu Ketua Jurulatih, Tomislav Steinbruckner tentukan barisan kesebelasan utama. Prestasi semasa latihan juga perlu dinilai sebelum keputusan akhir,” katanya.

Badrul Afzan turut mengucapkan tahniah kepada pemain muda, Syafiq Ismail kerana terpilih ke Kem Latihan Pusat Harimau Malaya.

“Ini adalah kali pertama Syafiq tersenarai dalam skuad senior. Ia adalah satu motivasi untuk beliau dan pasukan Terengganu.

“Saya harap beliau dapat panggilan dan berpeluang menimba pengalaman di peringkat lebih tinggi,” katanya.