Bangunan Sekolah Antarabangsa IDRISSI dijangka siap 2024

Zaliza (lima dari kiri) merasmikan majlis pecah tanah bangunan Sekolah Antarabangsa IDRISSI Setia Alam pada Rabu.
Zaliza (lima dari kiri) merasmikan majlis pecah tanah bangunan Sekolah Antarabangsa IDRISSI Setia Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bermula dengan hanya menyewa premis pada 2015, kini Sekolah Antarabangsa IDRISSI bakal memiliki bangunan sendiri di atas tanah berkeluasan 0.7 hektar di Persiaran Setia Dagang, Setia Alam di sini.

Terletak berhampiran Menara Top Glove dan pusat beli-belah Setia City, bangunan tiga tingkat dilengkapi 50 bilik darjah berhawa dingin, makmal komputer dan makmal seni itu bakal siap menjelang awal tahun 2024.

Sekolah baharu itu bakal dilengkapi kemudahan sukan termasuk gelanggang badminton dan bola keranjang serta padang bola.

Lebih menarik, Sekolah Antarabangsa IDRISSI bakal mempunyai ladang haiwan mini, kafeteria dan perpustakaan dalam taman.

Pengasas sekolah berkenaan, Zaliza Alias berkata, Sekolah Antarabangsa IDRISSI berkonsep ekoislamik yang merangkumi peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah.

Menurutnya, terletak di perbandaran Shah Alam, sekolah ini menyediakan persekitaran kondusif yang menawarkan pembelajaran unik dengan kurikulum menggunakan silibus Cambridge selain pendidikan islam yang diluluskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Julie (dua dari kiri) serta Zaliza (dua dari kanan) pada sidang akhbar sempena majlis pecah tanah Sekolah Antarabangsa IDRISSI Setia Alam pada Rabu.
Julie (dua dari kiri) serta Zaliza (dua dari kanan) pada sidang akhbar sempena majlis pecah tanah Sekolah Antarabangsa IDRISSI Setia Alam pada Rabu.

"Selain itu, sekolah kami turut menawarkan kurikulum reka bentuk dan teknologi moden yang direka khusus untuk menggalakkan kreativiti pelajar dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan.

"Sekolah ini juga telah dianugerahkan penarafan lima bintang melalui penilaian Standard Kualiti Institusi Pendidikan Swasta (SKIPS) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia," katanya pada majlis pecah tanah Sekolah Antarabangsa IDRISSI pada Rabu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif GAINS Education Group, Julie Wong.

Zaliza berkata, dengan siapnya bangunan baharu di Setia Alam tersebut, ia bakal menempatkan sehingga 1,000 pelajar.

Sementara itu, Julie berkata, pembinaan bangunan sekolah itu amat bermakna buat mereka yang dianggap merupakan pencapaian membanggakan sejak lapan tahun penubuhan sekolah itu.

"Bermula dengan hanya 50 pelajar dan kurang 15 tenaga pengajar serta kakitangan, alhamdulillah kini kita mempunyai hampir 600 pelajar.

"Jumlah guru dan kakitangan juga meningkat sehingga 70 orang. Kita berjaya mengembangkan operasi dalam memberikan perkhidmatan pendidikan terbaik kepada pelajar di sini," katanya.

Ujar Julie, pihaknya turut bersyukur kerana bakal berpindah ke bangunan baharu yang lokasinya terletak hanya beberapa meter dari lokasi sedia ada.

"Penyediaan kemudahan serba lengkap itu selari dengan hasrat memastikan pihak sekolah menawarkan pendidikan berkualiti kepada pelajar dan melahirkan pemimpin masa depan," katanya.

Selain Setia Alam, 2015, Sekolah Antarabangsa IDRISSI turut memiliki cawangan di EduCity Iskandar Puteri, Johor.

Zaliza menyasarkan, lima lagi cawangan lagi bakal dibuka dalam tempoh lima tahun.