Pemilik syarikat pengurusan acara didakwa ugut bunuh Radja

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap kumpulan muzik terkenal Indonesia, Radja pada Sabtu lalu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap kumpulan muzik terkenal Indonesia, Radja pada Sabtu lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemilik syarikat pengurusan acara dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap kumpulan muzik terkenal Indonesia, Radja pada Sabtu lalu.

C S Muremthiran, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam mahu membunuh Ian Kasela, 49 ; Seno Aji, 39 dan Mouldyanshah Mulyadi, 49 dengan niat menyebabkan mereka merasa cemas.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik Rehat Artis, Stadium Arena Larkin pada kira-kira jam 11 malam, Sabtu lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit sabit kesalahan.

Tertuduh tiba di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.
Tertuduh tiba di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad dan tertuduh diwakili peguam Amarpreet Singh.

Hadir sama peguam pemerhati kumpulan Radja dan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KRJI) Johor Bahru, Mohamad Daud Ismail.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh.

Namun, peguam tertuduh memohon jaminan rendah dikenakan berikutan tertuduh yang sudah beristeri, turut menanggung ibu bapanya yang sudah uzur.

"Selain itu tertuduh terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM300,000 akibat penganjuran konsert kumpulan Radja di Johor Bahru, Sabtu lalu," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan tidak boleh mengganggu serta mendekati mangsa serta saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Mei nanti bagi penyerahan dokumen dan pengurusan kes.