8,000 penjawat awam terima KGT Tambahan Khas RM100

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang bersetuju untuk memberi Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas tahun 2023 berjumlah RM100 kepada kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian itu melibatkan implikasi kewangan tahunan sebanyak RM9.6 juta.

"Saya berharap dengan pemberian KGT Tambahan Khas ini, penjawat awam di Pahang dapat mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau turut menjelaskan, kenaikan KGT Tambahan Khas itu selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2022 apabila Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pemberian berkenaan kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dalam Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ujar Wan Rosdy, kerajaan negeri bersetuju menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan itu dengan mengambil kira peranan penting penjawat awam negeri yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat Pahang.

"Pemberian KGT Tambahan Khas ini tidak akan menjejaskan Pergerakan Gaji Tahunan pegawai bagi tahun ini dan tahun berikutnya serta tidak mengubah tarikh pergerakan gaji pegawai," ujarnya.