Batek by Rasta Rashid terima tempahan USA, Jepun dan Singapura

Pereka fesyen terkenal negara, Rasta Rashid menunjukkan rekaan pakaian tradisional Jepun, yukata yang digabungkan dengan elemen batik hasil sentuhannya.
Pereka fesyen terkenal negara, Rasta Rashid menunjukkan rekaan pakaian tradisional Jepun, yukata yang digabungkan dengan elemen batik hasil sentuhannya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pereka fesyen, Rasta Rashid hari ini boleh tersenyum puas apabila jenama rekaan batik sarungnya bukan sahaja diterima di pusat beli belah bertaraf lima bintang di Malaysia, malah ia turut digemari negara luar.

Jenama 'Batek by Rasta Rashid' mendapat sambutan hangat dan sentiasa menerima tempahan daripada pelanggan istimewanya dari Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura.

Ia sekali gus menjadi pencapaian yang cukup berharga dalam perjalanan panjangnya mewarnai industri fesyen tanah air semenjak 28 tahun lalu.

Rasta (kanan) menerima trofi Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) daripada Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli pada 23 Februari lalu.
Rasta (kanan) menerima trofi Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) daripada Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli pada 23 Februari lalu.

Menurut Rasta, penerimaan daripada negara luar itu menunjukkan rekaan batik negara ini mendapat tempat di hati penggemar fesyen antarabangsa.

Malahan, beliau turut dianggap melakukan 'kerja gila' apabila menjadi satu-satunya pereka batik yang membawa batik ke pusat percutian terkenal dunia, Miami, Amerika Syarikat pada 2019.

"Ketika itu saya menyertai 'Miami Modest Fashion Week' serta memperagakan rekaan pakaian resort batik dan mendapat sambutan yang sangat hebat.

"Walaupun orang kata mat salih atau orang latin mungkin tak akan minat pakai batik tetapi yang berlaku sebaliknya. Mereka sebenarnya suka batik," katanya menerusi wawancara khas di pejabatnya.

RASTA
RASTA

Jelas Rasta, sambutan luar biasa itu membuka laluan kepadanya untuk memasarkan rekaannya di sebuah hotel di Miami.

Berkongsi lanjut tentang kolaborasinya bersama pusat beli belah lima bintang pula, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu bersyukur kerana Pavilion Bukit Jalil dan Metrojaya Mid Valley menerima rekaannya meskipun pakaian yang dihasilkan bukan dalam jumlah besar.

"Rekaan saya eksklusif, maksudnya untuk satu rekaan batik hanya ada satu jenis sahaja iaitu saiz dari S ke XL. Itu sahaja.

"Ia berbeza dengan kemahuan kebanyakan pusat beli belah kerana mereka nak jual dalam kuantiti yang banyak. Namun, Metrojaya terima konsep eksklusif, asalkan rekaan itu laku dijual.

"Bagi Pavilion Bukit Jalil pula, mereka beli idea (rekaan) kerana mahu konsep eksklusif yang turut menarik minat pembeli untuk berbelanja dan menghargai batik kita," ujarnya.

Sejarah Rasta Creation

Mengimbas sejarah, rangkaian jenama Batek by Rasta Rashid yang bernaung di bawah syarikat induk Rasta Creation dilancarkan secara rasmi pada 2015 bagi memartabatkan fabrik tradisional batik sarung dalam rekaannya.

Rasta Creation pula ditubuhkan pada 2001 bermula dengan cuma menyediakan pakaian tarian, balet, pakaian korporat dan rekaan kostum.

Dari segi penggunaan jenis batik, beliau lebih gemar menggunakan batik cop dalam rekaannya kerana wujud konsistensi corak walaupun keseragaman warna itu sukar untuk diperoleh dalam keadaan benar-benar sempurna.

"Kadang-kadang kita akan nampak titik-titik lilin akan tumpah sikit-sikit tetapi itulah sebenarnya kecantikan dan 'kesempurnaan' batik sarung,” jelasnya.

Rasta bersama pekerjanya memperagakan rekaan batik di bawah jenama Batek by Rasta Rashid.
Rasta bersama pekerjanya memperagakan rekaan batik di bawah jenama Batek by Rasta Rashid.

Rasta yang memiliki 10 pekerja mengakui jatuh bangun sudah menjadi asam garam setiap usahawan yang menjadikan seseorang itu lebih kental untuk maju ke hadapan.

Ketika pandemik Covid-19, mereka tidak dapat beroperasi seperti biasa tetapi datang idea untuk menghasilkan pelitup muka daripada kain perca batik.

Ilham itu ternyata bukan sahaja membantu syarikatnya terus bertahan bahkan menolong ramai ibu tunggal menjana pendapatan dengan menjual pelitup muka batik menerusi sosial media seperti Facebook dan Instagram serta platform e-dagang.

Pada tahun kedua pandemik, jenama Batek by Rasta Rashid mengeluarkan koleksi pakaian aktif batik bercetak yang mendapat sambutan baik pelanggan yang bekerja dari rumah.

"Semasa bekerja dari rumah dan perlu menyertai mesyuarat secara dalam talian, mereka gayakan empat koleksi pakaian aktif. Saya datangkan dengan set iaitu bersama pelitup muka," ulasnya.

Rasta yang juga Presiden Persatuan Pereka Bumiputra Malaysia (MBDA) menambah, Rasta Creation turut membantu pereka-pereka lain dari segi penjenamaan.

"Kami lakukan konsep secara bersama, sebagai contoh jika saya membuat rekaan, satu lagi pereka lain menjahit dan dua lagi pereka masing-masing mengeluarkan produk dan menjualnya," kongsinya.

Selain itu, satu lagi sejarah dipahat Rasta Creation apabila melancarkan anak syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengurusan acara dan telah menganjurkan acara pertunjukan kostum (cosplay event) tahun lalu iaitu Pokanime Planet di Pusat Pameran Pavilion Bukit Jalil serta disokong Tourism Malaysia.

Untuk tahun ini, pihaknya akan meneruskan penganjuran acara Pokanime Planet pada Jun nanti selain acara baharu 'Fun Run' pula dirancang diadakan pada Oktober.

"Menerusi MBDA pula, akan diadakan pertunjukan fesyen 'My Gaya Month' yang berlandaskan konsep empat penjuru dan diadakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," akhirinya.

PROFIL

Nama: Rasta Rashid

Umur: 49 tahun

Syarikat: Rasta Creation Sdn Bhd

Pendidikan: Diploma In Fashion Design and Dress Making' - International Fashion Training Centre (IFTC)

Pencapaian Tertinggi:

- 60 Wanita Inspirasi Majalah Nona 2015

- Most Promising Designer Award (MFW) Malaysia Fashion Week 2019

- Merit Award for Batik Industry Development (MFMPA) Malaysia Fashion Malaysia Pagent Awards 2021

Hubungi kami:

- Instagram dan Facebook: Batek by Rasta Rashid

- Laman web: www.rastarashid.com