Tze Yong lepasi ujian awal di Seluruh England

Tze Yong mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya Seluruh England selepas menewaskan Shesar Rhustavito di Birmingham pada Rabu. - Foto Badminton Photo
Tze Yong mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya Seluruh England selepas menewaskan Shesar Rhustavito di Birmingham pada Rabu. - Foto Badminton Photo
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong memulakan kempen kejuaraan Kejohanan Badminton Seluruh England di Birmingham pada Rabu dengan langkah kanan.

Tze Yong mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik kejuaraan selepas menjinakkan pemain dari Indonesia, Shesar Rhustavito 21-9, 21-12 dalam masa 36 minit di Utilita Arena Birmingham.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pada edisi 2023 ini apabila ditunjukkan jalan keluar dalam aksi 66 minit.

Vivian-Chiew Sien terpaksa mengalah kepada pengalaman pasangan, Margot Lambert-Anne Tran dalam perlawanan tiga set.

Beregu wanita negara bermula baik pada set pertama sebelum dipaksa menyerah 21-19 kepada lawan dari Perancis itu.

Namun begitu, Vivian-Chiew Sien kemudian mendapat momentum apabila menang set kedua 21-18 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada set ketiga, kedua-dua pasangan saling mengejar mata yang akhirnya menyaksikan kemenangan berpihak Margot Lambert-Anne Tran, 21-15, sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan 16 terbaik.