1.2 juta pertubuhan terlibat Banci Ekonomi 2023

Rafizi (tengah) melancarkan Banci Ekonomi 2023, di Kuala Lumpur pada Selasa.
Rafizi (tengah) melancarkan Banci Ekonomi 2023, di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

DIANGGARKAN sebanyak 1.2 juta pertubuhan perniagaan dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di Malaysia akan diliputi dalam Banci Ekonomi 2023.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, banci yang akan dilaksanakan bermula April hingga September itu melibatkan semua sektor ekonomi termasuk pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta perkhidmatan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menganggarkan pertubuhan mikro adalah sebanyak 75.2 peratus, kecil 20.5 peratus, sederhana 1.6 peratus dan besar 2.7 peratus.

"Menerusi banci ini, punca pertumbuhan baharu ekonomi dapat dikenal pasti dan DOSM berupaya menjana statistik ekonomi baharu yang signifikan untuk dipantau.

"Ini akan memberi data yang penting kepada kerajaan untuk digunakan dalam perangkaan dan juga perancangan dasar-dasar yang lain.

"Ada beberapa perkara baharu yang akan mula dibanci buat pertama kali melibatkan sektor-sektor baharu termasuk industri kenderaan elektrik, e-sukan, dron dan ada juga perangkaan sosioekonomi baharu seperti pemilikan oleh belia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Banci Ekonomi 2023 di sini, pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron; Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Fraziali Ismail.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, selepas Banci Ekonomi 2023, DOSM akan mula laksanakan banci dalam sektor pertanian bermula tahun hadapan.

Ujarnya, ia bertepatan dengan dasar dan fokus kerajaan untuk menjadikan pertanian sebagai sektor dinamik yang mempunyai kepentingan strategik dalam ekonomi dan negara.

"Pada masa sama, (ia dapat) menawarkan kerja dengan bergaji berpatutan dan juga supaya golongan muda boleh melihat sektor pertanian sebagai bidang yang boleh menawarkan kerjaya yang baik," jelasnya.

Beliau memberitahu, data merupakan perkara utama yang digunakan oleh kerajaan untuk mengukur reka bentuk masyarakat dan ekonomi negara.

"Melalui data ini, kerajaan boleh melihat dari segi pecahan jenis-jenis perusahaan kerana salah satu cabaran kita adalah jumlah perusahaan yang ada sekarang majoritinya, iaitu sekitar 95 peratus adalah perusahaan kecil dan mikro, bukan sederhana pun.

"Maksudnya keupayaannya untuk menyertai rantaian nilai yang lebih tinggi, rantaian antarabangsa untuk mengeksport barang atau menawarkan gaji yang lebih tinggi sudah tentu terhad kerana ia syarikat mikro.

"Jadi kita perlu tentukan selepas data yang kita ada sekarang, apakah pecahan kategori dan keupayaan perusahaan kita?

"Dari situ sudah tentu kerajaan perlu merangka dasar dan program yang dapat meningkatkan keupayaan syarikat ini," katanya.

Ujar beliau, Banci Ekonomi 2023 penting untuk membolehkan kerajaan menyusun langkah-langkah ke arah membina skala dan meningkatkan daya tahan perusahaan tempatan untuk melahirkan lebih banyak syarikat yang bersaiz lebih besar.

Menurutnya, data itu juga membolehkan kerajaan membuat perancangan jangka masa sederhana dan panjang untuk meningkatkan keupayaan perusahaan mikro.

Tambah Rafizi, segala bentuk bantuan hanya boleh diputuskan berdasarkan data-data yang telah dikenal pasti kerana setiap dasar akan melibatkan peruntukan dan perbelanjaan kerajaan.

"Dengan ini kita boleh lihat jika ada dasar yang memberi galakan kepada penggabungan syarikat-syarikat atau dasar yang memberi insentif supaya syarikat boleh menambah kapasiti untuk keluar daripada kategori kecil daripada sederhana," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir memaklumkan, Banci Ekonomi 2023 merupakan banci kelima yang dilaksanakan setiap lima tahun sekali.

Ujarnya, kali terakhir banci ekonomi dilaksanakan adalah pada tahun 2016, iaitu bagi tahun rujukan 2015.

"Banci ini telah dirancang dilaksanakan pada tahun 2021 tetapi terpaksa ditunda berikutan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara pada Mac 2020.

"Banci Ekonomi 2023 adalah banci pertama yang meliputi semua aktiviti ekonomi pada tahun rujukan yang sama (tahun rujukan 2022).

"Berbeza dengan banci ekonomi sebelum ini, subsektor perdagangan borong dan runcit pertama kali diliputi dalam Banci Ekonomi 2023 yang mana sebelum ini Banci Ekonomi dan Banci Perdagangan Borong dan Runcit dijalankan secara berasingan," jelas beliau.