'Saya masih lagi orang politik' - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] "Saya masih lagi orang politik," kata bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, politik merupakan sebahagian darah daging beliau.

"Apa yang ada ini pun politik juga," katanya menerusi sidang akhbar pertama selepas dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Beliau berkata demikian menjawab persoalan adakah akan melupakan pentas politik selepas kembali semula ke dunia korporat.

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pelantikan Asyraf.

Ia selepas tular di Twitter sekeping foto beliau menyampaikan surat pelantikan kepada Asyraf.

Sebelum ini, jawatan itu disandang oleh Datuk Azizah Mohd Dun.

Sementara itu, Asyraf berkata, Mara tidak akan memilih bulu dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Kita tidak tolong orang UMNO sahaja. Tadi saya pun tengok borang atau prosedur operasi standard (SOP) tidak tulis mesti ahli UMNO kalau ahli Pas, PN kena buang ke tepi," katanya.

Beliau berkata, Ahmad Zahid telah menekankan bahawa jangan melihat kepada warna parti dalam usaha membangunkan modal insan dan usahawan.

"Jangan pilih kroni. Itu yang kita akan teruskan," katanya selepas melancarkan program berteknologi tinggi Prosolar di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Asyraf menjelaskan pembiayaan Mara bebas daripada unsur riba malahan berasaskan islamik.

"Mara mempunyai pelan dan pengalaman untuk mewujudkan inovasi baharu yang akan mengurangkan kos pembiayaan dengan lebih efisien," katanya.

Asyraf menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin berkata, beliau selaku Pengerusi Mara akan membantu agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu beralih kepada pembiayaan yang menepati kehendak syariah, selain lebih cekap dan tidak membabitkan kos yang tinggi.