PMWCBM Maggi lahirkan 3,500 usahawan wanita

Pelancaran PMWCBM 2023 yang dilancarkan oleh Nancy (tiga dari kiri) bersama Gheeta Balakrishna, Juan Aranols berlangsung di Le Meridien Hotel, Petaling Jaya pada Isnin. - Foto Sinar Harian RAFEQ REDZUAN
Pelancaran PMWCBM 2023 yang dilancarkan oleh Nancy (tiga dari kiri) bersama Gheeta Balakrishna, Juan Aranols berlangsung di Le Meridien Hotel, Petaling Jaya pada Isnin. - Foto Sinar Harian RAFEQ REDZUAN
A
A
A

SERAMAI 3,500 usahawan wanita dalam bidang perniagaan makanan berjaya dilahirkan menerusi Program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi® (PMWCBM) sejak ianya diperkenalkan pada tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, program dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu mampu membantu melahirkan wanita berdaya saing di negara ini.

"Program edisi ketiga PMWCBM diadakan dengan kerjasama syarikat teknologi Google, Meta dan TikTok menawarkan bengkel peningkatan kemahiran komprehensif dan kelas induk yang memfokuskan pada penciptaan kandungan untuk media sosial, pertumbuhan peribadi dan cara mengembangkan perniagaan berasaskan makanan.

“Tumpuan utama adalah kepada komuniti B40 menerusi bengkel peningkatan kemahiran dan sesi penglibatan untuk membantu mereka memanfaatkan ekonomi digital,” katanya pada pelancaran Program Wanita Cukup Berani Maggi® (PMWCB) di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Juan berkata, bengkel kali ini turut menjemput pakar daripada Google, Meta dan TikTok turut berkongsi panduan, nasihat dan amalan terbaik tentang penciptaan kandungan, manakala pengaruh yang berjaya berkongsi cerita mereka untuk memberi inspirasi kepada peserta.

“Selepas proses pemilihan yang ketat, 21 pemenang akan dipilih untuk menerima kontrak dengan Maggi® dan menjadi sebahagian daripada program bimbingan eksklusif untuk menjadi pencipta kandungan makanan,” katanya.

Program berkenaan dilancarkan oleh Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri. Turut hadir Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi® Nestlé (Malaysia), Geetha Balakrishna.

Sementara itu, Nancy berkata, PMWCBM sejajar dengan matlamat KPWKM untuk mempromosikan penyertaan aktif wanita dalam tenaga kerja

“Tema Hari Wanita Antarabangsa tahun ini, #EmbraceEquity mampu meningkatkan kemahiran wanita dan komuniti terpinggir dengan kemahiran digital yang menyediakan peluang pendapatan baharu dan mengecilkan jurang kesaksamaan jantina," ujarnya.

Nancy berkata, kesaksamaan gender memerlukan penglibatan, kerjasama dan sokongan pelbagai pihak berkepentingan dan pihaknya turut berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada kolaborasi antara pihak swasta dan sektor awam.