Suspek serang Kamal Adli dihadapkan ke mahkamah hari ini

Cota yang digunakan untuk menyerang pelakon Kamal Adli
Cota yang digunakan untuk menyerang pelakon Kamal Adli
A
A
A

SINGAPURA - Seorang lelaki yang menyerang pelakon Kamal Adli dalam kejadian di Singapura akan dihadapkan ke mahkamah pada Selasa.

Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF), lelaki berusia 34 tahun itu akan didakwa di mahkamah kerana disyaki terbabit dalam kes menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya.

“Jika sabit kesalahan, kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman itu,” menurut SPF dalam kenyataannya malam tadi.

Sebelum itu, SPF berkata pihak polis menerima panggilan tentang satu kes di Singapore Expo pada 9.19 malam (waktu tempatan) pada Ahad lalu di mana suspek telah memukul seorang lelaki berusia 36 tahun menggunakan cota di lokasi itu.

"Cota itu dirampas dan dijadikan barangan kes dengan siasatan masih diteruskan.

Menurut SPF, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap apa-apa tindakan ganas dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa saja yang melanggar undang-undang.

Kamal, 36 tahun, yang mengalami kecederaan terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di republik itu.

Kamal dan isteri Uqasha Senrose berada di Singapura bagi acara Hari Raya Mega Sale 2023 selama tiga hari bermula Jumaat yang berlangsung di Dewan 5A, Singapore Expo.

Menurut Uqasha, kejadian berlaku di akhir acara itu tetapi tidak memberikan butiran apa yang menyebabkan suaminya diserang. - Agensi