Asmirul ditegur Sanusi dalam sidang DUN

Asmirul (kiri) dan Sanusi.
Asmirul (kiri) dan Sanusi.
A
A
A

ALOR SETAR - Asmirul Anuar Aris (PH-Kubang Rotan) ditegur oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana didakwa membuat tuduhan seolah-olah titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika merasmikan Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-14 pada Ahad disediakan kerajaan negeri.

Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri membuat teguran tersebut sebelum membawa usul ucapan menjunjung kasih terhadap Sultan Kedah atas perkenan baginda menyampaikan titah tersebut.

"Walau kita bercakap di media sosial, janganlah kita buat tuduhan seolah-olah titah dizahirkan tuanku itu disediakan kerajaan negeri kerana tindakan sedemikian merendahkan institusi sultan.

"Saya tengok di TikTok semalam, Kubang Rotan ada menyebut perkara tersebut," katanya.

Muhammad Sanusi menambah, beliau membangkitkan perkara itu kerana baru-baru ini berlaku perbahasan panas di Parlimen setelah terdapat bekas menteri yang menyebut kononnya, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disediakan kerajaan Persekutuan.

"Tetapi kali ini perkara itu diulang lagi di peringkat DUN Kedah, saya zahirkan rasa kecewa atas sifat kurang cermat Kubang Rotan dalam TikTok semalam dan minta beringat lain kali," katanya.

Sementara itu, Asmirul ketika ditemui pada sidang media berkata, Muhammad Sanusi bersifat berlebihan setelah salah faham mengenai maksud yang hendak disampaikan dalam siaran langsung TikTok tersebut.

"Saya bersama ADUN pembangkang lain amat menjunjung titah disampaikan Sultan Kedah semalam.

"Yang saya pertikaikan itu bukan titah tuanku tetapi input disampaikan Menteri Besar untuk dimasukkan ke dalam ucapan baginda.

Ujarnya, dalam siaran langsung TikTok itu, mereka bercakap mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan beliau mempertikaikan input yang diberikan Muhammad Sanusi berkaitan perkara itu.

"Mana-mana kerajaan pun biasanya akan beri input kepada titah tuanku dan kami yakin, Sultan Kedah amat bijaksana untuk menilai input diberikan itu betul atau salah.

"Saya tak pertikai titah baginda tetapi lebih kepada menghentam Menteri Besar kerana kadang-kadang apa yang disaran untuk dimasukkan ke dalam draf titah baginda itu tak betul," katanya.

Asmirul dalam masa yang sama berkata, beliau merasakan tiada sebab untuk dirinya meminta maaf berkaitan perkara itu.

"Saya fikir tak ada sebab untuk minta maaf kerana kami menjunjung titah baginda.

"Saya tak fikir ada melakukan sebarang kesalahan sebaliknya beliau (Muhammad Sanusi) yang melebih-lebih," katanya.