Hanya 15 laporan EIA diluluskan tahun lalu di Pulau Pinang

Sharifah Zakiah (dua dari kanan) ketika meninjau gerai pameran yang dibuka sempena Seminar Alam Sekitar ‘Invest In Our Planet’ di Seberang Jaya pada Isnin.
Sharifah Zakiah (dua dari kanan) ketika meninjau gerai pameran yang dibuka sempena Seminar Alam Sekitar ‘Invest In Our Planet’ di Seberang Jaya pada Isnin.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Hanya 15 daripada 40 laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang pada tahun lalu.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, 40 laporan EIA yang diterima pihaknya termasuk 27 permohonan projek pembangunan yang ingin dijalankan di negeri ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, hanya 15 laporan yang diluluskan selepas didapati menepati kehendak dan syarat yang ditetapkan.

“Antara laporan EIA yang diterima membabitkan permohonan pelaksanaan projek di kawasan cerun, pengolahan dan pelupusan sisa, estet perindustrian, perlombongan, pantai, industri kimia, kuari dan perumahan.

“Ada beberapa sebab mengapa laporan yang dikemukakan ditolak antaranya laporan yang dihantar tidak lengkap sama ada daripada segi teknikal dan tidak mematuhi ulasan-ulasan daripada agensi berkaitan.

“Terdapat juga sebilangan laporan yang dikemukakan gagal mengambil kira keperluan polisi, pelan struktur, guna tanah termasuk keperluan ‘buffer zone’ (zon penampan) iaitu jarak selamat antara kawasan projek dan kawasan penempatan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Alam Sekitar ‘Invest In Our Planet’ di Seberang Jaya di sini pada Isnin.

Beliau berkata, program tersebut dilaksanakan bagi mendorong pemaju, juru runding, pembekal teknologi serta masyarakat akan keperluan pelaburan bagi memelihara serta memulihara persekitaran untuk masa depan lebih baik dan selamat.

“Penceramah yang terdiri daripada pelbagai bidang antaranya seni bina, perancangan projek dan reka bentuk alam sekitar berkumpul untuk berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman menerusi seminar yang berlangsung selama dua hari ini,” katanya.