Muhyiddin perlu fokus pertuduhan dihadapi, bukan berpolitik

Fahmi berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Banjir dan Bantuan Persekolahan di Dewan Raya Kampung Sungai Tiram, pada Isnin. - Foto Bernama
Fahmi berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Banjir dan Bantuan Persekolahan di Dewan Raya Kampung Sungai Tiram, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu fokus kepada pertuduhan dihadapinya di mahkamah dan bukannya berpolitik sepanjang masa, kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata, sebagai orang lama dalam dunia politik, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sepatutnya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara lain yang tidak membantu menyelesaikan masalah rakyat pada ketika beliau sedang berdepan pelbagai pertuduhan.

"Janganlah berpolitik sahaja Tan Sri, nak politik lagi tunggulah PRN (Pilihan Raya Negeri), tak usahlah usaha tebuk atap ke, guna pintu belakang ke atau buat komen politik, kita kurangkan, ini pun titah Raja-Raja Melayu,” katanya.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi dan Digital, berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir serta mengadakan lawatan ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di Kampung Sungai Tiram di sini pada Isnin.

Beliau ditanya pemberita mengenai laporan media semalam berkaitan keputusan Muhyiddin untuk tidak meletak jawatan sebagai presiden Bersatu, yang disifatkan bekas Perdana Menteri itu selaras dengan kehendak Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pagoh itu ketika mengumumkan peletakan jawatan Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai Ketua Penerangan Bersatu, dilapor berkata ia amalan standard bagi mana-mana ahli parti yang berhadapan dengan tuduhan di mahkamah untuk meletak jawatan supaya tidak menimbulkan salah pandangan terhadap Bersatu.

Hari ini, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta.

Jumaat lepas, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta. - Bernama