Kerajaan tubuh pasukan khas EV

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menubuhkan pasukan khas untuk menguruskan dan merancang dasar kenderaan elektrik (EV) negara.

Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong berkata, penubuhan pasukan itu juga telah diluluskan Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu.

Menurutnya, antara peranan yang dimainkan pasukan khas itu adalah untuk meneliti beberapa perkara berkaitan EV, sebelum kerajaan memutuskan untuk melaksanakan dasar tersebut.

“Untuk EV ini kita ada beberapa perkara (yang perlu diteliti) pertamanya, mengenai siapa yang akan dipilih menjadi pengeluar serta jenama apa yang yang akan diberikan peluang untuk dijual di sini (Malaysia).

“Keduanya mengenai stesen pengecasan dan akhirnya rangkaian elektronik dan elektrik dengan pengeluar EV. Jadi inilah perkara yang kerajaan perlukan untuk menggariskan masa depan untuk industri ini,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN - Kuala Krai) yang bertanyakan mengenai perancangan kerajaan untuk mengeluarkan EV dalam masa terdekat.

Chin Tong sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan mempertimbangkan penggunaan EV termasuk hibrid sebagai kenderaan rasmi jabatan dan jawatan dalam usaha meningkatkan jumlah penggunaan kenderaan tersebut.

Jelasnya, perkara tersebut sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan.