PRN: MB daripada Bersatu jika tawan Selangor, Negeri Sembilan

Muhyiddin pada sidang media selepas selesai Perhimpunan Agung Tahunan Kali Yang Kelima Tahun 2022 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Menara PGRM di sini. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Muhyiddin pada sidang media selepas selesai Perhimpunan Agung Tahunan Kali Yang Kelima Tahun 2022 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Menara PGRM di sini. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan melantik menteri besar dalam kalangan pemimpin parti itu di dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Selangor sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan berjaya membentuk kerajaan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dan diputuskan di peringkat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).

"Kalau kita dapat bentuk kerajaan, maka Bersatu akan tadbir negeri. Pulau Pinang kita akan perhalusi dan teliti, macam mana situasi dan keadaannya.

"Mungkin ada yang kata sukar untuk menang di Pulau Pinang, tetapi tidak sukar untuk menyukarkan (mengurangkan) majoriti di kawasan itu," katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Bersatu di Menara PGRM di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan tiada perubahan dalam pengagihan kerusi antara parti komponen PN menjelang ketibaan PRN.

Menurut Muhyiddin, kerusi yang ada di pihak Pas dan Bersatu dalam peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dikekalkan kecuali jika ada persefahaman untuk membuat pertukaran.

Katanya, jawatankuasa perundingan kerusi akan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut.

"Prinsip-prinsip yang mungkin sama boleh kita gunakan antara lain 'penyandang jawatan'.

"Kerusi- kerusi yang tidak dimiliki oleh sesiapa kecuali parti pembangkang seperti UMNO dan sebagainya, kerusi itulah yang akan kita rundingkan. Siap yang hendak kerusi itu akan diputuskan dalam perbincangan kita nanti," jelasnya.