Himpunan di ibu negara, polis buka kertas siasatan

Video tular yang memaparkan sekumpulan individu menyertai himpunan yang diadakan di ibu kota, pada Ahad.
Video tular yang memaparkan sekumpulan individu menyertai himpunan yang diadakan di ibu kota, pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membuka satu kertas siasatan berhubung perhimpunan serta perarakan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli belah dan Dataran Merdeka, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, beberapa individu sedang dikenal pasti dan mereka yang terbabit akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

"Hasil pemerhatian yang dibuat didapati seramai 150 orang terdiri daripada aktivis hak asasi badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan ahli parti politik menyertai perhimpunan tersebut pada jam 10 pagi.

"Mereka memegang beberapa plakad antaranya 'child not pride', 'trans women are woman, police your behaviour not my body” dan lain-lain lagi," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Kertas siasatan ini akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut," katanya.

Beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

"Tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang," katanya.