Tulang ditemui sah milik manusia

Hasron Nazri (tengah) dalam sidang media berhubung penemuan tulang yang disahkan oleh Jabatan Forensik, HRPB Ipoh, adalah milik manusia, hari ini.
A
A

KAMPAR - Pengesahan awal seketul tulang dan serpihan yang ditemui sekitar Gua Kandu, Gopeng, Sabtu lalu adalah milik manusia.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, perkara tersebut disahkan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh menerusi bedah siasat yang dijalankan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Penduduk kampung cari Acap jumpa tulang

Tulang manusia atau tidak, tunggu laporan jabatan kimia, kata polis

“Keadaan lapan serpihan tulang serta tulang femur atau paha yang ditemui adalah tulang lama atau agak reput dan tidak lengkap.

“Tulang berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor untuk ujian deoksiribonukleik (DNA),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu laporan rasmi kaitannya dengan peserta larian Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu.

“Spesimen darah salah seorang ahli keluarga orang hilang telah diambil di Hospital Kampar untuk padanan DNA dengan tulang terbabit.

“Keputusan akan diperolehi dalam tempoh sebulan atau dua bagi melihat perkaitan dengan orang hilang berikutan lokasi tersebut berhampiran dengan trek perlumbaan,” katanya.

Hasron Nazri berkata, siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti pemilik sebenar tulang menerusi data bank DNA.

“Pihaknya telah menjalankan siasatan menyeluruh di lokasi kejadian dan tidak menemui tulang lain termasuk tengkorak.

“Justeru itu, kita tidak menghalang orang kampung untuk meneruskan proses pencarian namun, disarankan supaya memaklumkan pergerakan di Balai Polis Gopeng,” katanya.