Mayat remaja lemas ditemui di Pantai Sepat

Pengecaman awal oleh keluarga mengesahkan mayat mangsa. - Foto ihsan PDRM (Gambar kecil: Nasrul Aimi Shah)
Pengecaman awal oleh keluarga mengesahkan mayat mangsa. - Foto ihsan PDRM (Gambar kecil: Nasrul Aimi Shah)
A
A
A

KUANTAN - Mayat seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi yang dihanyutkan arus ketika mandi bersama empat rakannya di Pantai Cempaka di sini pada petang Jumaat ditemukan lemas pada Sabtu.

Mayat, Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri, 15, dari Taman Kempadang Perdana itu ditemui kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihak berkuasa menerima maklumat awam penemuan mayat seorang lelaki yang terdampar pada jam 11.50 malam di Pantai Sepat.

"Bertindak atas maklumat itu, pasukan penyelamat telah bergerak ke lokasi bagi pengesahan

"Pengecaman awal oleh ahli keluarga iaitu bapa mangsa telah mengesahkan mayat tersebut adalah mangsa yang dilaporkan hilang," kata beliau dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujar Wan Mohd Zahari, siasatan awal terhadap fizikal mangsa tidak mendapati sebarang kesan tindakan jenayah.

"Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan(HTAA) Kuantan untuk tindakan lanjut.

"Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 12.01 tengah malam," katanya.

Dalam kejadian tersebut, mangsa bersama empat rakannya datang ke Pantai Cempaka kira-kira jam 3.30 petang untuk mandi-manda.

Semasa sedang mandi di tepi pantai, mereka dipercayai telah dipukul ombak dan dihanyutkan arus ke kawasan yang agak dalam.

Empat rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai manakala mangsa yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik didapati hilang.

Mereka yang selamat kemudiannya meminta bantuan daripada penduduk berhampiran sebelum kejadian dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk bantuan mencari dan menyelamat.