Bapa harap anak hilang di pantai segera ditemui

Kamarul Bahri (kanan) menunggu perkembangan pencarian anaknya yang dikhuatiri lemas di Pantai Cempaka di sini. (Gambar dalam :Nasrul Aimi Shah)
Kamarul Bahri (kanan) menunggu perkembangan pencarian anaknya yang dikhuatiri lemas di Pantai Cempaka di sini. (Gambar dalam :Nasrul Aimi Shah)
A
A
A

KUANTAN - Bapa kepada Nazrul Aimi Shah, 15, yang dikhuatiri lemas di Pantai Cempaka di sini tidak berhenti berdoa agar anaknya itu ditemui segera.

Kamarul Bahri Mohd Nazri, 50, berkata, solat hajat telah diadakan di beberapa masjid pada malam Jumaat bagi memohon agar usaha mencari anak lelakinya itu dipermudahkan ALLAH.

Menurutnya, selain bantuan pasukan penyelamat, dia dan ahli keluarga lain turut membantu mencari mangsa selepas kejadian.

"Saya terima dengan reda takdir ini namun amat berharap dia (Nazrul Aimi Shah) ditemui segera dalam keadaan sempurna," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Sabtu.

Kamarul Bahri berkata, sebelum kejadian, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu ada memberitahu ibunya untuk keluar bermain 'game' bersama kawan-kawan.

"Ibunya benarkan kerana hanya menyangka dia keluar bermain di sekitar kawasan perumahan kami di Taman Kempadang Perdana.

"Kami tidak sangka dia boleh sampai ke sini (Pantai Cempaka) yang jaraknya kira-kira 10 kilometer dari rumah.

Wan Mohd Zahari (tiga dari kanan) berada di lokasi meninjau operasi pencarian mangsa dikhuatiri lemas di Pantai Cempaka di sini.
Wan Mohd Zahari (tiga dari kanan) berada di lokasi meninjau operasi pencarian mangsa dikhuatiri lemas di Pantai Cempaka di sini.

"Kalau dia kata nak datang ke pantai ini memang kami tidak akan benarkan," jelasnya.

Menurutnya, anaknya itu seorang yang ringan tulang dan rajin membantu ibunya melakukan kerja-kerja rumah selain suka memancing.

"Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum kejadian.

"Cumanya semasa pulang dari solat Jumaat dia ada membawa pulang nasi katanya orang bagi dan sempat berkongsi makanan itu dengan ibunya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, usaha mencari mangsa masih diteruskan.

Menurutnya, operasi pencarian bertumpu kepada rondaan di sepanjang pesisir Pantai Cempaka hingga ke Pantai Sepat memandangkan penggunaan bot penyelamat tidak begitu sesuai memandangkan keadaan angin kencang dan ombak tinggi di kawasan pesisir.

Nazrul Aimi Shah yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi dilaporkan hilang dihanyutkan arus selepas dipukul ombak ketika mandi bersama empat rakan sebaya di pantai itu pada petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, rakannya yang lain selamat.