Menghargai drama tradisional Melayu

Makyung adalah salah satu drama tradisional yang suatu masa dahulu bertakhta di jiwa orang-orang Melayu.
Makyung adalah salah satu drama tradisional yang suatu masa dahulu bertakhta di jiwa orang-orang Melayu.
A
A
A

BANGSA yang tinggi tamadunnya tidak akan lupa khazanah dan warisan yang pernah membina peradabannya.

Apa yang dicapainya dewasa ini membayangi apa yang terhasil pada masa silamnya.

Dalam konteks kemajuan zaman pascamoden yang bergerak ke arah hipermoden ini, elok rasanya sekali sekala kita menoleh ke belakang, ke khazanah warisan masa silam itu.

Kali ini kita cuba menelusuri hayat drama atau teater tradisional.

Drama tradisional merupakan seni persembahan budaya masyarakat Melayu tradisi yang mengkombinasikan unsur cerita, muzik dan tarian.

Unsur cerita menjadi teras kepada persembahannya. Meskipun masih belum menggunakan skrip, tetapi cerita dan strukturnya berkembang dalam urutan yang kreatif, dan mengandungi nilai sastera serta estetika.

Wayang kulit, makyung, menora dan bangsawan adalah warisan bersifat nasional, sementara randai, jikey, dabus, kuda kepang, main peteri dan lain-lainnya adalah milik wilayah kenegerian.

Di Kelantan terdapat dua jenis wayang kulit iaitu wayang Kelantan mendapat pengaruh Siam pada perdalangan dan ukiran patungnya.

Wayang Melayu mempunyai pengaruh Jawa.

Persembahannya mengaplikasikan prinsip cahaya dan bayang-bayang tertera pada kelir, manifestasi mistik, mitologi dan ilusi.

Tok dalang adalah narator dan pengatur pergerakan patung-patung yang membawa perwatakan dan cerita.

Pada tahun 1980 saya membuat penyelidikan di Kelantan, wujudnya 40 kumpulan wayang kulit, lapan kumpulan makyung dan sekitar 20 pemain peteri.

Sambutan terhadap main wayang kulit sungguh meriah terutama selepas menuai padi, yang waktu itu dua musim setahun.

Nilai utama dalam teater tradisional terletak pada ceritanya, mengintertekstual daripada Ramayana dan Mahabharata.

Wayang kulit Kelantan lebih banyak mengambil nilai-nilai cerita yang dimodifikasi daripada Ramayana.

Versi Melayunya dikenal sebagai Maharaja Rawana, mengekalkan watak-watak epik Ramayana seperti Seri Rama, Laksamana, Sita Dewi, Rawana, Hanuman Kera Putih, hulubalang, raksasa dan dewa-dewa dengan mengalami eksistensi watak-watak Pak Dogol dan Wak Long.

Bersahaja

Pengalaman menonton makyung sangat menarik.

Unsur naratif bergabung dengan ritual, lakonan dan tarian, muzik vokal, instrumental mengiringi plot cerita dan dialog spontan yang formal dan bersahaja.

Muzik digunakan untuk mengiringi tarian-tarian dan nyanyian.

Muzik rebab adalah menjadi ibunya.

Pada tahun 1985 saya mengajar ‘Kursus Drama Tradisional’ di Jabatan Sastera Universiti Kebangsaan Malaysia, telah menjemput kumpulan Khatijah Awang iaitu Kumpulan Seri Temenggung yang terkenal pada waktu itu.

Pelajar dan masyarakat kampus terpesona dengan persembahan yang menarik dan memukau dengan unsur jenaka dan tarian mengasyikan.

Makyung kelazimannya mengambil khazanah cerita lipur lara sebagai dasar naratifnya seperti cerita Anak Raja Gondang dan Dewa Indera Kayangan.

Struktur naratif dramatiknya terletak pada motif keajaiban dan kesaktian serta diselang-seli dengan unsur magis dan mitos.

Cerita makyung itu bersifat rigid tetapi bercorak bebas, dihipogramkan demi pendaulatan feudalisme, kerana makyung pernah hidup dipayungi oleh istana.

Berbanding dengan menora, seni persembahan asli bagi penduduk Thailand, yang masuk ke Kelantan membawa kisah istana raja-raja Siam. Pelakon utamanya Pak Si Tong iaitu Phra Suthon.

Alat-alat muziknya ialah gedombak, geduk, gendang, tawak, rebab, cerek, serunai, mong, kanang dan cing.

Muziknya menggambarkan sesuatu keadaan, sama ada gembira atau sedih. Biasanya, plotnya lambat, mendayu-dayu dan melodramatik.

Bangsawan dikenali sebagai opera, sejenis pementasan yang dilakonkan dengan cerita-cerita sejarah, legenda dan epik, yang bersumberkan daripada hikayat.

Lakonannya diselang-seli dengan lawak jenaka, nyanyian atau pertunjukan akrobatik.

Pada peringkat awal, bangsawan menitikberatkan persembahan nyanyian dan tarian.

Kemudian sebagai tarikan, dimasukkan unsur-unsur cerita dan lakonan.

Muzik berperanan sebagai latar suasana dalam lakonan, tarian dan nyanyian.

la diperlukan untuk menghidupkan cerita-cerita yang dipentaskan.

Setiap rombongan bangsawan mempunyai orkestra terdiri daripada lima sehingga 15 orang pemain.

Alat muziknya sudah moden sepeti arkodian, biola, gitar, rebab, seruling, saksofon dan sebagainya.

Profesional

Bangsawan mengambil berat tentang kostum dan tatarias untuk watak protagonis seperti orang muda, primadona dan sultan serta para penarinya.

Sebaliknya membawa imej hitam dengan pakaian buruk terhadap antagonisnya.

Kumpulan bangsawan bersifat profesional dengan mengadakan pementasan berkeliling, berpindah dari satu tempat ke suatu tempat, dari kota ke kota seperti ke Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura, ada juga yang sampai ke Sumatera dan Pulau Jawa.

Randai hidup di bumi Negeri Sembilan, persembahan yang berkonsepkan gerak tari silat yang diselangi nyanyian berunsur lagu rakyat serta diiringi muzik caklempong, rebana, salung dan gong.

Jikey asalnya di Perlis, dipersembahkan dalam bentuk teater keliling menggunakan gelanggang yang dibina di atas tanah bagi memudahkan penonton menyaksikannya.

Kemudian dibawa ke atas pentas prosenium dengan membawa cerita-cerita rakyat.

Dabus seni persembahan Perak sebagai gelanggang memperaga keperkasaan dan kekuasaan.

Tahun 1993 saya melakukan penyelidikan susulan ke Pantai Timur; dapatannya ialah bilangan kumpulan wayang kulit dan makyung amat sedikit sekali.

Para pelibatnya dilanda konflik pendapatan, kerana sudah kekurangan khalayaknya.

Pernah terjadi drama tradisional diharamkan kerana unsur-unsur khurafatnya.

Bagaimanapun sedikit demi sedikit unsur khurafat itu ditanggalkan dalam wayang kulit dan makyung.

Kini drama tradisonal itu hidup di Aswara dan jabatan-jabatan seni persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaya dan Univeriti Kebangsaan Malaysia. Persatuan Teater Malaysia di bawah organisasi Tuan Sakrani Shamsuddin juga menggerakkannya ke arah pementasan drama tradisional itu.

Begitulah serba sedikit khazanah drama tradisional yang suatu masa dahulu bertakhta di jiwa orang-orang Melayu.

Ia menjadi kebanggaan dan diperkembangkan zaman-berzaman sebagai wajah persembahan bangsa, yang selari dengan negara-negara lain seperti Jepun yang memiliki warisan teater bunraku, noh dan kabuki.

Semoga setiap satu genre drama tradisional itu disuburkan, kerana ia pernah suatu masa dahulu menjadi jiwa tamadun dan wajah peradaban bangsa Melayu.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia