Faizah pertahan jawatan Ketua Wanita UMNO Jempol

Faizah Othman berjaya mengekalkan jawatannya pada sesi 2023-2026. - Foto FB Berita Parlimen Jempol
Faizah Othman berjaya mengekalkan jawatannya pada sesi 2023-2026. - Foto FB Berita Parlimen Jempol
A
A
A

JEMPOL - Faizah Othman, 52, berjaya mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jempol selepas menang tanpa bertanding pada Pemilihan UMNO sesi 2023 hingga 2026 di sini pada Sabtu.

Selain Faizah, empat lagi penyandang masing-masing bagi jawatan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap dan naib ketua sayap itu turut menang tanpa bertanding.

Mereka merupakan Maimon Hassan, 58; Wan Kamisah Abdullah, 44, dan Sharifah Ghazali, 51.

Sementara itu, calon Ketua Puteri UMNO bahagian Jempol, Noornasuha Ramli, 33, yang merupakan seorang usahawan kecundang dalam pemilihan kali ini apabila jawatan tersebut dimenangi Ketua Puteri UMNO cawangan Taman Bahau, Hazratul Ilani Misdar, 34.

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berkesempatan meninjau perkembangan pemilihan berkenaan. - Foto FB Berita Parlimen Jempol
Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berkesempatan meninjau perkembangan pemilihan berkenaan. - Foto FB Berita Parlimen Jempol

Penyandang jawatan Pengerusi Tetap, Siti Nor Aishah Baharudin, 35; Timbalan Pengerusi Tetap, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar, 32 dan Naib Ketua Puteri Bahagian Jempol turut menang tanpa bertanding.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Bahagian Jempol (JPU), Sulaiman Nordin.

Bagaimanapun, jawatan bagi sayap pemuda masih lagi dalam proses pengiraan undi dan dijangka diumumkan pada lewat petang nanti.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi selepas sesi pengundian mendapati proses pemilihan berjalan lancar tanpa sebarang provokasi.