'20 tahun saya pujuk abah' - Nurulhidayah

Nurulhidayah (berdiri) menyantuni perwakilan Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk di Wisma UMNO Bagan Datuk di sini pada Sabtu.
Nurulhidayah (berdiri) menyantuni perwakilan Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk di Wisma UMNO Bagan Datuk di sini pada Sabtu.
A
A
A

BAGAN DATUK - Bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk bukan sesuatu yang mudah buat anak Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Mengakui pengalaman pertama yang mencabar, Nurulhidayah tetap bersemangat walaupun tidak diberi laluan mudah sebagai anak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk.

Namun jelasnya, disebabkan keinginan untuk membantu bapanya secara langsung dalam UMNO Bahagian Bagan Datuk menyebabkan dia nekad menyertai politik.

"Untuk saya berada dalam pertandingan bahagian dan peringkat pusat ini, ia mengambil masa selama 20 tahun untuk memujuk dan meyakinkan abah saya, menyakinkan Ahmad Zahid Hamidi bahawa anaknya bersedia untuk bersama-sama di dalam dunia politik.

"Saya faham sebagai seorang bapa, saya juga seorang ibu, tidak ada ibu bapa yang mahukan anak-anak mengalami kesusahan sama seperti mereka.

"Saya tidak memilih susah tetapi memilih untuk bersama-sama dengan mereka dalam dunia politik terutama di Bagan Datuk kerana mempunyai niat dan cita-cita besar untuk membangunkan Bagan Datuk ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini pada Sabtu.

Nurulhidayah berkata, kehadirannya di UMNO Bahagian Bagan Datuk membawa harapan besar untuk sayap wanita bahagian berkenaan bergerak lebih aktif dan bekerjasama erat dengan UMNO di peringkat pusat.

Jelasnya, wanita-wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk sangat berpotensi untuk diketengahkan sebagai pemimpin di peringkat lebih tinggi.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan tidak pernah serik untuk terlibat dalam politik biarpun berdepan cabaran dalam pemilihan kali ini.

"Saya tidak tertekan sebaliknya berbangga membawa nama Ahmad Zahid Hamidi. Kebetulan pula di Bagan Datuk saya bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk dan tidak memberi apa-apa kelebihan kepada saya atau laluan mudah kepada saya untuk memenangi Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk.

"Saya perlu melalui perlawanan tiga penjuru di Bagan Datuk. Jadi tiada kelebihan, tiada apa-apa keistimewaan dengan membawa nama Ahmad Zahid Hamidi, sama sahaja dengan orang lain," katanya.

Pemilihan Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Nurulhidayah dan penyandang, Zarozatin Isa serta seorang lagi calon iaitu Halimah Mohd Noor.

Selain bertanding di peringkat bahagian, Nurulhidayah turut bertanding bagi jawatan Exco Wanita UMNO pusat.

Sementara itu, seramai 268 perwakilan wanita UMNO bahagian berkenaan hadir membuang undi di Wisma UMNO Bahagian Bagan Datuk bermula pagi Sabtu dan keputusan dijangka diumumkan malam ini.