Jurutera kilang maut bertembung pacuan empat roda

Motosikal yang ditunggang mangsa dalam nahas di Jalan Pajam pada pagi Sabtu. - Foto orang awam
Motosikal yang ditunggang mangsa dalam nahas di Jalan Pajam pada pagi Sabtu. - Foto orang awam
A
A
A

NILAI - Seorang jurutera kilang maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Pajam di sini pada pagi Sabtu.

Ketua Polis daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kejadian kira-kira jam 8 pagi itu membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda, lori muatan ais dan penunggang motosikal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berumur 52 tahun dari arah Pajam menghala ke Mantin cuba memotong lori muatan ais sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa.

"Dalam masa sama, pacuan empat roda tersebut telah bergesel dengan lori muatan ais dan menyebabkan lori tersebut terbabas sebelum terbalik.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang merupakan lelaki berumur 26 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.