Warga emas patah kaki ketika mendaki Gunung Lambak

Anggota bomba membawa turun wanita warga emas yang patah kaki kanan selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Lambak pada Sabtu. - Foto Bomba
Anggota bomba membawa turun wanita warga emas yang patah kaki kanan selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Lambak pada Sabtu. - Foto Bomba
A
A
A

KLUANG - Seorang warga emas patah kaki kanan selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Lambak di sini pada Sabtu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Norhakim Nordin berkata, dalam kejadian pada jam 8.25 pagi, wanita berusia 73 tahun itu mendaki bersama suaminya berusia 80 tahun.

Menurutnya, suami mangsa tidak mengalami kecederaan dan orang awam yang mendaki di gunung tersebut telah melaporkan kejadian itu kepada pasukan penyelamat.

"Lapan anggota bomba bersama sebuah unit jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Mangsa dibawa turun ke kaki gunung menggunakan peralatan khas menyelamat.

"Tempoh masa sejam diambil untuk membawa mangsa turun ke kaki gunung dan seterusnya dihantar ke Hospital Kluang untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.