Kes Muhyiddin: Bukan pendakwaan terpilih

Dari kanan: Dr Hamdan dan Azli serta moderator program, Syed Zairus Syed Zainal Khooki pada Program Bicara Komuniti Sri Mahligai - Komuniti Sihat Tolak Rasuah.
Dari kanan: Dr Hamdan dan Azli serta moderator program, Syed Zairus Syed Zainal Khooki pada Program Bicara Komuniti Sri Mahligai - Komuniti Sihat Tolak Rasuah.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof yakin tidak berlaku pendakwaan terpilih bermotif politik dalam pendakwaan kes rasuah membabitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana individu adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Sebab kalau kita menyatakan secara berkali-kali ini adalah pendakwaan terpilih, akhirnya ia akan menimbulkan keraguan kredibiliti kepada agensi berkenaan secara tidak langsung.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah sebutkan, berkali-kali yang beliau tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran, ataupun tindakan diambil oleh, agensi-agensi dalam kerajaan," katanya.

Beliau ditemui Sinar Harian pada Program Bicara Komuniti Sri Mahligai - Komuniti Sihat Tolak Rasuah, turut dihadiri Timbalan Pengerusi Rasuah Busters Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel di Seksyen 9 di sini pada Sabtu.

Azli (tengah) turut menyampaikan penghargaan kepada penghuni berusia emas di Sri Mahligai sempena program berlangsung
Azli (tengah) turut menyampaikan penghargaan kepada penghuni berusia emas di Sri Mahligai sempena program berlangsung

Azli menambah, semua pihak seharusnya memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada SPRM untuk menjalankan tugas, begitu juga kepada sistem kehakiman dan pendakwaan dalam melaksanakan tugas mereka.

Pada Jumaat, Muhyiddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Muhyiddin, 76, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya menerima rasuah dan dua pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.