Banjir di Mersing pulih sepenuhnya

Operasi pemantauan dan penyelamatan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rengit di Kampung Parit Karjo. - Foto Bomba
Operasi pemantauan dan penyelamatan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rengit di Kampung Parit Karjo. - Foto Bomba
A
A
A

JOHOR BAHRU - Banjir di daerah Mersing pulih sepenuhnya apabila tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak 1 Mac lalu ditutup, pada Sabtu.

Tiga PPS berkenaan beroperasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Labong, SK Bandar Endau dan Dewan Serba guna Endau.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, penutupan PPS itu menyumbang kepada penurunan jumlah mangsa banjir di negeri ini menjadi 44,779 daripada 12,683 keluarga setakat jam 12 tengah hari pada Sabtu.

"Kesemua mangsa banjir itu kini ditempatkan 169 PPS di empat daerah yang masih terjejas. Batu Pahat menunjukkan sedikit penurunan mangsa banjir dan kini seramai 39,951 orang (11,169 keluarga) yang kini ditempatkan di 115PPS di daerah itu.

"Muar pula, jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,534 orang (763 keluarga) di 19 PPS manakala Segamat pula kini tinggal 632 mangsa banjir (154 keluarga) di 18 PPS dan Tangkak seramai 1,662 orang (597 keluarga) di 17 PPS," katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan di semua daerah di negeri ini.

Bagi paras air sungai pula, lapan sungai di Muar dan Batu Pahat mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya.

"Di Muar, Sungai Muar di Bukit Kepong merekodkan bacaan 4.33 meter (m) berbanding paras bahaya 3.30m. Sementara Sungai Muar di Panchor pula 2.29m berbanding paras bahaya 2.13m.

" Di Batu Pahat pula Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok pada bacaan 19.70 m (paras bahaya 19.20m) ; Sungai Bekok di Yong Peng pada bacaan 2.84m ( paras bahaya 2.74m) dan Sungai Sembrong di Parit Karjo pada bacaan 2.32m ( paras bahaya 2.30m).

" Seterusnya Sungai Simpang Kiri di Sri Medan pada bacaan 2.49m (paras bahaya 2.30m); Sungai Simpang Kiri di Parit Sulong pada bacaan 1.94m (paras bahaya 1.80m) dan Sungai Senggarang pada bacaan 3.53 m (paras bahaya 3.50m)," katanya.