Mangsa banjir di Batu Pahat bertambah

Keadaan banjir di sekitar Batu Pahat.
Keadaan banjir di sekitar Batu Pahat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Batu Pahat masih merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir berbanding dua daerah di Johor yang menunjukkan pengurangan jumlah mangsa yang ditempatkan pusat penempatan sementara (PPS) setakat ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, setakat jam 8 pagi ini, seramai 44,937 mangsa banjir daripada 12,730 ditempatkan di 172 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah terjejas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, jumlah itu meningkat berbanding 43,667 orang daripada 12,385 keluarga yang direkodkan setakat jam 8 malam pada Jumaat.

“Di Batu Pahat, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 39,737 orang (11,104 keluarga) di 114 PPS berbanding 37,878 orang (113 keluarga) pada jam 8 malam, Jumaat,” katanya dalam kenyataan pada pagi Sabtu.

Dua daerah yang menunjukkan penurunan jumlah mangsa banjir ialah Muar dan Tangkak.

“Di Muar, jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,785 orang (845 keluarga) di 19 PPS. Bagi Tangkak pula, seramai 1,662 orang (597 keluarga) di 17 PPS)

"Manakala, Mersing dan Segamat masih kekal dengan jumlah mangsa banjir iaitu seramai 47 orang (14 keluarga) di 3 PPS dan 706 orang (169 keluarga) di 19 PPS," katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan di semua daerah di negeri ini.

Bagi paras air sungai pula, lapan sungai di Muar dan Batu Pahat mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya.

"Di Muar, Sungai Muar di Bukit Kepong merekodkan bacaan 4.33 meter (m) berbanding paras bahaya 3.30m. Sementara Sungai Muar di Panchor pula 2.29m berbanding paras bahaya 2.13m.

"Di Batu Pahat pula Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok pada bacaan 19.70 m (paras bahaya 19.20m); Sungai Bekok di Yong Peng pada bacaan 2.84m ( paras bahaya 2.74m) dan Sungai Sembrong di Parit Karjo pada bacaan 2.32m (paras bahaya 2.30m).

"Seterusnya Sungai Simpang Kiri di Sri Medan pada bacaan 2.49m (paras bahaya 2.30m); Sungai Simpang Kiri di Parit Sulong pada bacaan 1.94m (paras bahaya 1.80m) dan Sungai Senggarang pada bacaan 3.53m (paras bahaya 3.50m)," katanya.