Tiada campur tangan dalam siasatan Jana Wibawa - SPRM

SPRM menegaskan siasatan berkaitan program Jana Wibawa adalah bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak.
SPRM menegaskan siasatan berkaitan program Jana Wibawa adalah bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan terhadap program Jana Wibawa sama sekali tidak bermotifkan politik sebagaimana tohmahan segelintir pihak.

SPRM menerusi satu kenyataan pada Jumaat menjelaskan, siasatan berkaitan program itu adalah bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak.

"Siasatan yang dijalankan terhadap beberapa individu berhubung program Jana Wibawa merupakan inisiatif berasaskan maklumat serta bukti-bukti yang diperoleh sendiri oleh SPRM.

"Kertas-kertas siasatan yang telah dilengkapkan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya," kata SPRM.

Justeru menurut SPRM, tohmahan yang mengatakan siasatan SPRM atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik adalah tidak benar sama sekali serta telah menjejas imej suruhanjaya itu.

Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mempercepat pelaksanaan projek untuk merancakkan ekonomi negara ketika serta pasca pandemik Covid-19.

Ia juga bertujuan meningkatkan kapasiti kontraktor bumiputera dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing, berdaya tahan dan berpotensi.

Sebelum ini, kerajaan dilapor memudahkan kaedah pelaksanaan projek Jana Wibawa secara tender prakelayakan atau rundingan terus supaya impak pelaksanaan segera dapat dirasai oleh ekonomi dan rakyat.