Tak logik simpan wang curi dalam akaun parti - Ahmad Faizal

Ahmad Faizal pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Bersatu di Menara PGRM pada Jumaat. - Foto Bernama
Ahmad Faizal pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Bersatu di Menara PGRM pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seseorang yang mencuri wang dan menyimpannya dalam akaun parti politik dilihat tidak logik dan munasabah, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Jelasnya, sebagai orang biasa, mustahil seorang pencuri akan menyimpan wang yang dicuri dalam akaun bank parti politik.

"Saya hadir ke mahkamah dan lihat tuduhan yang mengatakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin menerima sejumlah wang.

“Secara realistik, itu tidak akan berlaku tapi kami tidak akan campur tangan urusan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu Malaysia 2022 di Menara PGRM di sini.

Pada Jumaat, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan salah guna kuasa untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, bekas Perdana Menteri ke-8 itu didakwa telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51, dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Bagi dua lagi pertuduhan, Muhyiddin juga didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu pada 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, pihaknya tidak dapat melakukan gabungan AGM Armada dan Srikandi kerana berada di mahkamah untuk menyokong Muhyiddin.

“Namun, kami telah mengikut peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk mengadakan AGM. Srikandi bermula hari ini dan esok ia akan diteruskan dengan sayap-sayap lain.

"Ucapan dasar oleh presiden parti sepatutnya malam esok tetapi sekarang kita tangguhkan kepada Ahad," katanya.