'Wakil rakyat pembangkang jangan malu mengaku terima peruntukan'

Sivanesan menyerahkan bantuan kembali ke sekolah kepada pelajat terpilih di DUN Sungkai pada Jumaat.
Sivanesan menyerahkan bantuan kembali ke sekolah kepada pelajat terpilih di DUN Sungkai pada Jumaat.
A
A
A

TAPAH - Wakil rakyat pembangkang tidak perlu malu mengaku menerima peruntukan daripada kerajaan negeri bagi pembangunan rakyat di kawasan masing-masing.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Intergrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, perkara itu sepatutnya dimaklumkan kepada rakyat agar tidak menjadi salah faham terutama apabila melibatkan bantuan.

"Saya dapat tahu, ada wakil rakyat pembangkang di negeri ini malu nak beritahu bahawa sumbangan yang diberi kepada penduduk itu adalah daripada peruntukan kerajaan negeri.

"Tidaklah semua, tetapi ada sebahagian. Perkara ini tak sepatutnya berlaku, kalau rasa ego nak sebut Kerajaan Perpaduan, sebut kerajaan negeri pun sudah cukup," katanya selepas menyampaikan bantuan persekolahan sempena program kembali ke sekolah di Pasar raya Ten Ten dekat Bidor di sini pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai itu berkata, pentadbiran kerajaan negeri Perak telah melaksanakan pemberian peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira kerajaan mahupun pembangkang.

Katanya, bagi program kembali ke sekolah sahaja, sebanyak RM24,000 disalurkan ke setiap Pusat Khidmat DUN bagi membantu ibu bapa kalangan B40 menyediakan kelengkapan persekolahan anak.

"Itu tidak termasuk peruntukan kepada pusat khidmat dengan kadar RM7,000 sebulan.

"Jadi di Perak, kita meneruskan agihan peruntukan sama rata ini bagi menunjukkan semangat demokrasi dan amalan politik matang.

"Sebaiknya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan menteri besar. Gunakanlah sewajarnya peruntukan itu untuk diagihkan kepada rakyat," katanya.

Dalam program itu, seramai 160 pelajar dari 19 sekolah menengah dan rendah termasuk orang asli di DUN Sungkai menerima bantuan kelengkapan sekolah antaranya pakaian, beg dan kasut berjumlah RM150 setiap seorang.