Rafizi mungkin dilantik semula Naib Presiden PKR

Rafizi Ramli. - Foto Sharifudin Abdul Rahim
Rafizi Ramli. - Foto Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mohd Rafizi Ramli berkemungkinan dilantik semula sebagai Naib Presiden PKR untuk mengisi jawatan lantikan dalam senarai kepimpinan tertinggi parti itu bagi penggal 2018-2021.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata beliau tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan pendirian yang dinyatakan oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kesediaannya memberi tempat kepada individu yang memberi sokongan kepada parti.

“Kemungkinan Rafizi tersenarai itu ada, sebab Anwar dah cakap semua yang bersedia memberi sokongan dan bantuan kepada parti untuk kukuhkan jentera parti akan dikumpulkan, akan diserapkan untuk kepimpinan akan datang,

“Senarai penuh jawatankuasa akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya selepas menghadiri majlis pembukaan persimpangan bertingkat Pantai Sentral dekat Lebuhraya Baru Pantai (NPE) yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir, hari ini.

Pada proses pemilihan PKR baharu-baharu ini, Rafizi tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merebut jawatan Timbalan Presiden.

Menerusi Kongres Nasional PKR awal November lalu, empat Naib Presiden yang dipilih melalui proses pemilihan adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebanyak 24 jawatan lantikan dalam PKR akan diputuskan selepas Anwar selesai mengadakan sesi libat urus dengan pemimpin peringkat negeri dan cabang.

Berdasarkan perlembagaan parti, presiden diberi kuasa melantik lima anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), dua naib presiden, seorang setiausaha agung, seorang ketua penerangan, seorang bendahari dan 14 pengerusi negeri.- Bernama

Artikel Berkaitan: