'Pengunjung gemar hidangan ikan patin berbanding Menu Rahmah'

Rozaini berama Menu Rahmah yang ditawarkan di gerai tersebut.
Rozaini berama Menu Rahmah yang ditawarkan di gerai tersebut.
A
A
A

TEMERLOH - Masih ramai belum memanfaatkan Menu Rahmah yang diperkenalkan kepada pengguna lebuh raya kendalian Anih Berhad di beberapa Hentian Rehat dan Rawat (R&R) seperti di R&R Temerloh setakat ini.

Menu bersama nasi, ayam atau ikan goreng dan sayur yang dijual dengan harga RM5 sebungkus itu diperkenalkan kepada pengguna sejak 23 Februari lalu.

Ia ditawarkan pada dua sesi iaitu jam 12 tengah hari hingga 2 petang dan 6 hingga 8 malam setiap hari oleh gerai-gerai terpilih, namun sambutan terhadap menu tersebut kurang menggalakkan.

Seorang pekerja, Rozaini Mohd Muhaizan, 30, mendakwa, setakat ini paling banyak dapat dijual hanya 10 bungkus sehari.

"Pengguna lebih memilih menu lain seperti ikan patin dan nasi lemak berbanding Menu Rahmah.

"Hendak kata tak tahu, setiap hari gerai yang terlibat ada meletakkan gegantung mengenai Menu Rahmah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Masih ramai pengguna belum memanfaatkan Menu Rahmah yang kini turut ditawarkan di R&R Temerloh. (Gambar kecil: Nafiz Shahrul, Nik Mohd Syafiq Zainal)
Masih ramai pengguna belum memanfaatkan Menu Rahmah yang kini turut ditawarkan di R&R Temerloh. (Gambar kecil: Nafiz Shahrul, Nik Mohd Syafiq Zainal)

Seorang lagi pekerja, Norsyafiqah Abdul Malek Rodzuan, 20, pula berkata, ada hari tertentu menu tersebut langsung tidak terjual.

"Paling banyak pun tiga bungkus setakat ini dan mungkin pengguna lebih tertarik dengan menu lain yang lebih popular seperti ikan patin," katanya.

Sementara itu, pengguna, Nafiz Syahrul, 27, mengakui mengetahui kewujudan Menu Rahmah di hentian tersebut.

"Setiap orang ada citarasa sendiri, macam saya sendiri sudah memang rancang hendak makan ikan patin bila singgah di sini," katanya.

Rakannya, Nik Mohd Syafiq Zainal, 33, juga mengakui hentian tersebut lebih dikenali dengan keenakan menu ikan patin menyebabkan pengguna seperti dia teruja memilih menu itu setiap kali berehat di R&R Temerloh.