Tekanan Anwar kenakan ke atas pembangkang lumpuhkan semak imbang

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Tekanan yang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kenakan ke atas pembangkang didakwa melumpuhkan proses semak imbang dalam negara.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, rakyat dan pemerhati antarabangsa perlu sedar perbuatan kerajaan Anwar yang sebenar dalam melumpuhkan Perikatan Nasional (PN) terutamanya kini telah mengalihkan tumpuan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Setelah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan saya dari Bersatu, kini tumpuan mereka ialah Tan Sri Abdul Hadi Awang dari Pas.

“Pastinya, target utama ialah melumpuhkan PN agar tiada semak imbang dalam negara ini. Abdul Hadi disiasat kerana kenyataan beliau mengenai pertukaran kerajaan.

“Kenyataan itu tiada apa salahnya kerana memang pertukaran kerajaan boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam sistem demokrasi Westminster yang kita amalkan,” katanya dalam siaran di Facebook beliau pada Khamis.

Pada Isnin, Abdul Hadi dilapor mengakui wujud usaha tersebut dan mendakwa gabungan itu berhak berbuat demikian kerana ia dibolehkan dan berlandaskan kepada prinsip demokrasi.

Pada Khamis, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai memaklumkan bahawa siasatan terhadap Abdul Hadi berhubung kenyataannya itu akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Eng Lai berkata, pihaknya telah menerima laporan terhadap Ahli Parlimen Marang itu, yang dibuat Pemuda Amanah Nasional dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Rabu.

Dalam pada itu, ujar Wan Saiful, Anwar juga sebelum ini telah dihukum penjara atas kesalahan salah guna kuasa.