Kedah Aerotropolis: Kenyataan Anthony Loke tidak benar

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah menafikan tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan atau cadangan kepada kerajaan Persekutuan untuk membangunkan projek Kedah Aerotropolis yang dirancang sebelum ini sebagaimana didakwa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dakwaan itu sama sekali tidak benar memandangkan pembentangan dalam mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) sudah diadakan pada Ogos dan Oktober 2020 sejak beliau mengambil alih kepimpinan Kedah pada Mei tahun sama.

Beliau menyatakan, kerajaan negeri juga sudah menerima lapan nasihat daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) yang sedang dipenuhi.

"Permohonan rasmi kepada dua Perdana Menteri sebelum ini juga sudah dikemukakan untuk dibawa masuk ke dalam Mesyuarat Kabinet dan juga kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang bertujuan untuk mendapatkan penelitian Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS).

"Bagaimanapun setakat ini, laporan penelitian UKAS yang di bawah portfolio Menteri di JPM (Ekonomi) masih belum diperoleh," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau memberitahu, sebanyak lima kajian kebolehlaksanaan telah dilakukan sejak 2015 lagi.

"Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga telah mengumumkan kelulusan projek berimpak tinggi termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) pada 19 Mac 2019.

"Sehubungan itu, Kedah telah memulakan proses pengambilan tanah dengan memasuki Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 dan melengkapkan proses kajian kesesuaian tapak pada 2020,"katanya.

Ujarnya, kerajaan negeri kemudiannya memperkenalkan pembangunan Kedah Aerotropolis, yang mana KXP hanya menjadi salah satu komponen dalam projek itu yang berperanan sebagai 'enabler' pada 2021.

Muhammad Sanusi memaklumkan, Kedah juga melakukan semua proses yang perlu dipenuhi termasuklah permohonan rasmi, sesi libat urus Kedah dengan MOT, UKAS dan EPU (Bahagian Pembangunan Wilayah serta pembentangan) dengan Menteri Pengangkutan dan Perdana Menteri sebelum ini.

"Setakat ini, sudah dua surat permohonan untuk melakukan pembentangan projek di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihantar iaitu satu daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan satu lagi daripada anak syarikat Perbadanan Kerajaan Negeri Kedah (PKNK), KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd, yang menguruskan projek ini. Apa yang mendukacitakan, kedua-dua permohonan itu belum dijawab.

"Sultan Kedah juga telah memaklumkan kepada saya bahawa baginda sendiri telah menitahkan kepada Perdana Menteri mengenai keperluan untuk projek ini disegerakan ketika sesi mengadap di Istana Kedah di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, Perdana Menteri menyatakan bahawa Kerajaan (Persekutuan) tidak ada keupayaan kewangan buat masa ini,"katanya.

Dengan permakluman ini, Muhammad Sanusi berkata, beliau membuat kesimpulan bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai maklumat yang jelas atau terperinci mengenai projek ini.

"Untuk projek ini, segala urusan yang diperlukan sebagaimana yang diputuskan dalam Mesyuarat MPFN telah dilaksanakan. termasuk kajian EIA dan DEIA dan perincian sedang dilakukan seperti yang dikehendaki dalam maklum balas Jabatan Alam Sekitar.

"Lawatan, memorandum persefahaman (MoU), usahasama serta pelbagai langkah telah dilakukan. Apa yang belum diperoleh hanya kelulusan bagi perkara yang berada dalam senarai Persekutuan sahaja,"katanya.

Tambah beliau, tindakan dilakukan membuktikan Kedah amat serius untuk melaksanakan projek ini, malah sudah pun membelanjakan kos hampir RM30 juta bagi menyediakan kajian-kajian teknikal dan segala dokumen yang berkaitan.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah Aerotropolis sangat berpotensi untuk menjadi katalis pembangunan utama negara malah boleh dianggap 'economic game changer' untuk rantau Asia Tenggara dengan kedudukannya yang strategik, keperluan ekonomi masa hadapan dan juga pelan pembangunan industri aeroangkasa komprehensif yang dirangka.

"Sekali lagi, saya ingin menegaskan bahawa segala perancangan projek sudah pun berada dalam rekod MOT, malah sebuah Jawatankuasa Teknikal melibatkan pegawai Kerajaan Negeri.

"KXP AirportCity Holdings dan Kementerian Pengangkutan juga telah ditubuhkan untuk menyelaraskan segala urusan membabitkan kedua-dua pihak. Di peringkat ini, pegawai-pegawai sudah termaklum mengenai rekabentuk dan konsep Kedah Aerotropolis," katanya.

Sehubungan itu, menurut Muhammad Sanusi lagi, beliau sendiri sudah dua kali memaklumkan hasrat mahu mengadakan pembentangan projek ini kepada Anthony pada 16 Januari dan 22 Februari lepas, malah akan menulis surat untuk memohon melakukan pembentangan itu sekali lagi.

Beliau berkata, Kedah menaruh harapan amat tinggi supaya segala isu berkaitan projek berkenaan dapat diselesaikan segera demi kepentingan rakyat dan negara memandangkan telah menunggu lama menanti ia dilaksanakan.

"Saya juga mengalu-alukan kesediaan Menteri Pengangkutan untuk mendengar dan memberi laluan kepada projek Kedah Aertorpolis sebagaimana yang disebut beliau di Dewan Rakyat pada Rabu," ujarnya.

Pada Rabu, Anthony menafikan kerajaan membatalkan projek Kedah Aerotropolis, sebaliknya menegaskan permohonan mengenainya tidak pernah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan atau kementeriannya.