Galtier kecewa selepas PSG tersingkir

PSG gagal meneruskan impian mereka untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini. - Foto AFP
PSG gagal meneruskan impian mereka untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini. - Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG), Christophe Galtier mengakui pasukan itu tidak mempunyai pilihan selain menerima penyingkiran awal selepas tewas 0-2 kepada Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara pada Khamis.

Menurut Galtier, keputusan perlawanan kedua pusingan 16 terakhir menentang Bayern itu pasti berbeza sekiranya pelawat menjaringkan gol pertama terlebih dahulu.

"Ia satu kekecewaan besar. Malangnya kami perlu hadam dan menerimanya,” kata Galtier selepas PSG tewas dengan agregat 0-3.

Pendahulu Ligue 1 itu yang berhasrat untuk menukar defisit 1-0 daripada perlawanan pertama bulan lalu, kini telah terkeluar daripada Liga Juara-Juara dalam pusingan kalah mati pertama dalam lima daripada tujuh musim terakhir mereka.

"Kami perlu meneruskan saingan dalam liga. Semua orang kecewa, tidak terkecuali saya. Walaupun kami menghadapi banyak kesukaran pada perlawanan pertama, kami meletakkan banyak harapan pada perlawanan kedua," tambah Galtier.

Eric Maxim Choupo-Moting dan Serge Gnabry menjaringkan gol pada separuh masa kedua di Allianz Arena untuk Bayern.

Kylian Mbappe mahupun Lionel Messi tidak memberikan impak yang diharapkan pada perlawanan tersebut untuk pelawat manakala Neymar diketepikan kerana kecederaan buku lali.

"Kami mempunyai permainan yang sangat bagus apabila kami mencipta peluang. Kami bersaing dengan lawan kami dan berada di atas. Malangnya kami tidak dapat mengambil peluang yang kami ada,” katanya.