Kadar zakat fitrah di Sabah kekal RM7

Zakat fitrah di Sabah tahun ini kekal pada kadar RM7.
Zakat fitrah di Sabah tahun ini kekal pada kadar RM7.
A
A
A

KOTA KINABALU - Zakat fitrah di Sabah tahun ini kekal pada kadar RM7 ditetapkan untuk setiap umat Islam di negeri ini, kata Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Datuk Seri Yahya Hussin.

Beliau berkata, kadar berkenaan ditetapkan berasaskan sukatan satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras yang digunakan majoriti penduduk di Negeri di Bawah Bayu itu.

"Seramai 39 orang Penyelaras Wakil Amir dan 2,200 wakil amil dilantik MUIS bagi menyelaras serta mengutip zakat fitrah sepanjang Ramadan pada tahun ini. Mereka akan dibekalkan dengan kad kuasa bagi mengelak kejadian mengeluarkan zakat fitrah kepada pihak tidak bertanggungjawab.

"Ramadan tahun ini juga MUIS memperuntukkan sebanyak RM17.25 juta untuk diagihkan kepada asnaf miskin, miskin dan mualaf,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Katanya, Muis juga menyasarkan kutipan zakat fitrah tahun ini sebanyak RM11.44 juta, dengan pada tahun lepas sebanyak RM10.93 juta zakat fitrah berjaya dikutip membabitkan 1.56 juta orang pembayar. - Bernama