I-Sayang KWSP: Anwar tegur suami 'berkira' dengan isteri

Anwar Ibrahim. - Foto: Bernama
Anwar Ibrahim. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sikap segelintir suami yang masih 'berkira' untuk memberi sumbangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada isteri menerusi inisiatif i-Sayang.

Beliau berkata, i-Sayang merupakan satu inisiatif kerajaan menghargai sumbangan isteri yang membolehkan suami memindahkan dua peratus caruman KWSP syer pekerja secara sukarela ke akaun isteri.

"Saya harap semua suami terutama dalam kalangan penjawat awam (berbuat demikian). Kita akan senaraikan siapa yang enggan.

"Saya rasa kita harus meminta ketua jabatan dan GLC untuk memastikan majikan beri sumbangan," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Kemudahan i-Sayang diperkenalkan KWSP pada November 2021 yang membolehkan pemindahan sukarela dua peratus caruman KWSP daripada akaun suami ke akaun Isteri.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, pemindahan sukarela itu hanya membabitkan amaun yang kecil.

"Pada majlis anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) baru-baru ini saya ada sebut pasal ini.

"Nak tambah sikit sumbangan (kepada isteri setiap bulan) pun jadi masalah," ujarnya.

Justeru, katanya, tidak salah sumbangan itu diberikan suami kepada isteri kerana golongan berkenaan juga merupakan ibu kepada anak-anak mereka.